Friday, December 18, 2009

KAABAH ENGGAN BERGERAK







Assalamualaikum kepada semua pengunjung setia blog ini. Pada minggu ini kita akan berbicara tentang satu lagi bukti sifat Maha Pengasihnya ALLAH.




Minggu lepas kita berbicara tentang dugaan dan cabaran yang ALLAH berikan kepada kita, dan sebagai hamba-NYA kita wajib redha dan sabar menempuhi setiap cabaran dan dugaan itu. Selagi kita hidup, cabaran, dugaan dan ujian dari ALLAH tak kan pernah berhenti. Ujian terakhir yang akan kita hadapi ialah ketika meniti titian As-Sirat. Sekiranya kita berjaya melintasi titian As-Sirat maka berbahagialah kita di syurga ALLAH. Akan tetapi sebaliknya kita akan terus menanggung seksaan yang tidak terperi lagi dahsyatnya di neraka seandainya kita gagal meniti titian As-Sirat.




Berkenaan dengan titian atau jambatan yang dikenali sebagai As-Sirat, ia merupakan satu jambatan yang merentangi neraka menuju ke syurga (syurga terletak di seberang sana manakala neraka berada di bawah jambatan tersebut). Titian ini bersifat fleksibel. Ia boleh meluas, menyempit, memendek dan memanjang mengikut siapa yang menitinya. Bagi orang-orang yang beriman maka titian As-Sirat ini akan meluas dan memendek untuk memudahkan mereka melintasinya. Manakala bagi orang-orang yang menderhakai ALLAH dan mereka-mereka yang berdosa, titian ini akan menyempit dan memanjang bagi menyukarkan mereka.




Antara makhluk ALLAH yang melintasi titian ini termasuklah Ka'abah Baitullah. Malaikat datang membawa perintah ALLAH kepada Ka'abah yang dihias indah ketika itu supaya bergerak menuju ke syurga. Yang menghairankan, sungguhpun Ka'abah tahu ianya merupakan perintah ALLAH, namun ia tidak mahu bergerak seinci pun untuk meniti titian As-Sirat menuju ke syurga. malaikat yang kehairanan pun bertanya hal ini kepada Ka'abah. Lantas Ka'abah menjawab bahawa ia tidak akan sekali-kali bergerak ke syurga sehinggalah ia diiringi oleh mereka-mereka yang pernah bertawaf mengelilinginya ketika di dunia dahulu.




Lantas malaikat pun segera bertemu ALLAH membawakan syarat yang dikemukakan oleh Ka'abah tersebut. Setelah ALLAH perkenankan syarat itu, segeralah malaikat tadi mengumpulkan orang-orang yang pernah bertawaf untuk mengiringi Ka'abah bergerak ke syurga. Namun Ka'abah masih berdiam diri, enggan bergerak walau seincipun.


Lantas malaikat pun bertanya bukankah telah dikumpulkan mereka yang pernah bertawaf sepertimana yang diminta oleh Ka'abah. Lantas ka'abah berkata masih terdapat lagi segelintir yang masih belum dikumpulkan. Malaikat pun memeriksa, usai pemeriksaan malaikat tadi menyatakan bahawa mereka yang tiada adalah mereka-mereka yang telah pun meniti titian sirat dan gagal melintasinya, merekalah orang-orang yang berdosa dan tercampak ke dalam neraka ketika meniti titian sirat.



Ka'abah berkata ia tidak kira sama ada mereka pernah melakukan dosa atau tidak, ia akan terus dengan pendiriannya yang hanya akan bergerak setelah semua manusia yang pernah bertawaf mengelilinginya dikumpulkan untuk mengirinya ke syurga.



Malaikat pun mengadu kepada ALLAH. ALLAH Tuhan Yang maha Pemurah, Maha Pengampun, Maha Lembut dan Maha Melimpah Kasih Sayangnya pun memperkenankan permintaan Ka'abah dengan mengampuni dosa-dosa orang yang pernah bertawaf mengelilingi Ka'abah. Setelah mereka semua dikelarkan dari neraka maka berkumpullah mereka mengiringi Ka'abah menuju ke syurga ALLAH, negeri yang indah abadi dan dilimpahi dengan rahmat dan nikmat yang tidak pernah mungkin dapat dibayangkan.



Betapa agongnya kasih sayang ALLAH terhadap kita. Lantaran itu tidak pernahkah kita terfikir untuk menyayangi ALLAH dan agama-NYA. Wallahua'lam.




No comments:

Post a Comment