Friday, June 4, 2010

PERANAN TUHAN

Untuk mendapat iman sangat susah berbanding dengan menghafal. Iman sebenamya campuran di antara percaya dan yakin. Ramai orang percaya Zat Tuhan. Tidak ada orang yang tidak percaya. Bahkan orang kafir pun percaya wujudnya Tuhan. Orang Islam percaya tentang adanya zat yang Maha Agung tetapi itu tidak cukup. Kita hendaklah yakin. Orang tidak yakin kerana dua sebab iaitu; tidak belajar dan susah menerima sesuatu yang dipelajari.

Yang tidak diyakini itu bukan zat Tuhan tetapi tidak yakin dengan peranan Tuhan. Bila tidak yakin dengan peranan Tuhan boleh dilihat cara hidup seseorang itu. Tentu banyak cacat celanya terutama bila Tuhan uji kita. Bagi yang yakin dia akan bersyukur dengan ujian itu dan menganggap Allah hendak menghapuskan dosanya. Terasa Tuhan memberi ujian istimewa kepadanya.

Contoh lain, bersedekah dalam ajaran Islam, bukan sahaja diberi pahala bahkan hidupnya diberkati. Orang yang pemurah, walaupun tidak kaya, tetapi dia tidak akan papa sebab ada berkatnya. Sebagaimana Rasulullah s.a.w. tentang berkat bersedekah. Ada seorang perempuan menjadi tetamunya. Baginda tahu lahir dan batin seseorang. Rasulullah s.a.w. memberitahu isterinya supaya perempuan itu tidak tinggal di rumah Rasulullah s.a.w. kerana tidak ada berkat. Perempuan itu diminta meninggalkan rumah Rasulullah s.a.w. dengan dibekalkan sebiji tamar.

Dalam perjalanan, dia sedekahkan tamar itu kepada orang lain. Belum pun perempuan itu pergi jauh, ALLAH s.w.t. memberitahu Rasulullah s.a.w. supaya dipanggil semula perempuan itu ke rumah Rasulullah s.a.w. kerana dia telah diberkati Tuhan. Ertinya Tuhan suruh orang bersedekah agar orang itu diberkati. Itulah peranan Tuhan.

Ramai orang tahu tentang perkara ini tetapi dia hanya boleh bersedekah apabila disuruh, digesa atau waktu sesekali naik semangat setelah mendengar ceramah. Kita tahu memberi sedekah itu berkat tetapi kita seperti tidak yakin dengan peranan Tuhan memberi berkat kepada sedekah. Sebab itu dia tidak bersedekah. Tuhan memberi kekayaan kepada seseorang dengan tujuan supaya orang itu dapat membuat kebajikan. Orang yang belajar tahu tentang perkara ini tetapi bolehkah dilaksanakan?

Kekayaan seseorang itu hanyalah saluran. Tuhan menyuruh kita mengagih-agihkannya. Kekayaan tidak boleh dinikmati seorang diri. Peranan Tuhan, itulah yang kita tidak yakin. Zat-Nya kita yakin. Percaya dicampur yakin barulah dikatakan beriman.

Hendak yakin peranan Tuhan, itu yang payah. Tuhan berjanji di dalam Al-Quran, barang siapa yang takut kepada-Nya, ALLAH s.w.t. beri rezeki dari sumber yang tidak diduga. Kita selalu ragu dengan janji Tuhan. Kalau berniaga pun kita ragu dengan bantuan Tuhan. Kalau kita berdakwah pun kita tidak yakin pertolongan Tuhan. Bila tidak yakin dengan Tuhan, mulalah kita bersangka jahat dengan Tuhan.

Haram hukumnya bersangka jahat dengan manusia. Bersangka jahat dengan Tuhan lagilah besar dosanya kerana ia berkait dengan aqidah. Kalau seseorang itu kuat ibadahnya sekalipun tetapi bersangka jahat dengan Tuhan, ini amat berat.

Saidina Abu Bakar r.a. diangkat oleh ALLAH s.w.t. kerana keyakinan yang kental di hatinya. Bukan kerana ibadah yang banyak atau pengorbanan yang hebat. ltulah kemuliaannya di sisi Tuhan. Kalau setakat percaya mudah, tetapi hendak yakin payah.

Itu baru yang kecil-kecil tetapi kalau yang besar-besar, contohnya atas nama negara atau bangsa, bagaimana? Seorang pemimpin mungkin tahu kalau dia membawa negara kepada taqwa, negara akan aman makmur. Kemudian dia berubah dengan tidak mengambil Islam tetapi berpaling kepada ideologi seperti kapitalis, komunis, sosialis dan pragmatism. ltupun kerana dia ragu.

Sekarang ini, tidak ada negara umat Islam yang hebat yang mendapat perlindungan Tuhan. Semua ada masalah sedangkan semua sudah merdeka. Mengapa hal ini berlaku? Jawapannya hanya satu. Kerana umat Islam itu sendiri tidak yakin dengan peranan Tuhan.

Friday, May 28, 2010

3 PUNCA KEJAHATAN

Kata-kata dari Ulama' Hassan Al-Basree:
"Punca bagi segala kejahatan itu ada tiga: Sombong, Hasad Dengki dan Tamak. Kesombongan menyebabkan Iblis enggan sujud kepada Adam a.s., Hasad Dengki menyebabkan Habil dibunuh oleh saudaranya Qabil dan Ketamakkan menyebabkan Adam a.s. tersingkir dari Syurga"....

Saturday, May 15, 2010


Salam takziah diucapkan kepada PENGURUS HAL EHWAL KORPORAT TRI ANGLE VISION, PUAN SHAZREEN MORNA MOHD ZAINOR dan keluarga di atas keguguran kandungan beliau pada 15 MEI 2010.




Ikhlas dari,
Pihak Pengurusan
TRI ANGLE VISION

Friday, May 14, 2010

MALAIKAT MAUT MEMERHATI WAJAH MANUSIA 70 KALI SEHARI



Memang tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan menanti saat kematian mereka.



ALLAH berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Al-Anbiyak : 35)


Alam barzakh menjadi tempat persemadian sebelum manusia dibangkitkan pada hari akhirat. Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati. Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.



Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: "Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa".



Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup.



Takdirnya esok hari terakhir Allah 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?



Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.



Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan. Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).



Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis. Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia." (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)



Kematian 'menjemput' manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha.



Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.



Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar."



ALLAH juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya.



Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas. Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu".



Malaikat Izrail menjalankan arahan ALLAH s.w.t dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun.



Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia. Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan. Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.



Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. ALLAH menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut.



Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa. Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih ALLAH iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh. Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam a.s. Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.



Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah.



Umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu. Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul. Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya. Ini kerana tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan ALLAH dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.



Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar. Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian. Mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan. Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian.



Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu ALLAH.

Friday, May 7, 2010

TAHNIAH


Pihak pengurusan Tri Angle Vision Learning Centre (TAVLC) mengucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH kepada Saudari Fairuz binti Bakar (Kak Yuz) kerana kejayaan beliau melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang Bahasa Arab di Mesir.


Kak Yuz merupakan fasilitator TAVLC yang sangat cemerlang dalam hasil kerjanya. Dedikasi yang beliau curahkan dalam setiap program anjuran TAVLC tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui betapa besarnya sumbangan yang beliau curahkan dalam usaha mendidik dan membimbing anak bangsa.


Semoga perjalanan beliau dalam menuntut ilmu ALLAH dipermudahkan, insyaALLAH. Kami di TAVLC akan sentiasa mengingati dan mendoakan yang terbaik buat Kak Yuz.

HURAISY


Pada hari kiamat akan keluar seekor binatang dari neraka jahanam yang bernama Huraisy. Ia berasal dari anak kala jengking. Besarnya Huraisy ini dari timur ke barat. Panjangnya pula seperti jarak langit dan bumi.
Maka Jibrail a.s. bertanya, "Hai Huraisy! Engkau hendak ke mana? Dan siapa yang engkau cari?"
Jawab Huraisy, "Aku mahu mencari lima orang: -
Pertama: Orang yang meninggalkan solat;
Kedua: Orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat;
Ketiga: Orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya;
Keempat: Orang yang suka bercakap tentang dunia di dalam masjid; dan
Kelima: Orang yang suka minum arak".
(ilustrasi gambar adalah perhiasan semata-mata, tiada kaitan dengan konten tazkirah)

Friday, April 23, 2010

BERITA TENTANG ROH


Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata: "Wahai orang yang memandikanku, aku minta kepadamu kerana ALLAH untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".

Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu: "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan air dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuang dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh". Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu:"Demi ALLAH, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh".

Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat. Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan: "Demi ALLAH, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari ini aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya".


Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir. Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: "Wahai kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku. Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku. Adapun di dunia, ALLAH menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".


Ada satu riwayat daripada Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk daripada anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".


Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur di mukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.

Baginda Rasullullah S.A.W bersabda: "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu".

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi: "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S. Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya".

Dari sebuah hadis bahawa apabila ALLAH S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar menjelasan itu, maka dia pun kembali kepada ALLAH S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.

Lalu ALLAH S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain". Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah ALLAH S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: "Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan".

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini. Kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang-alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu".

Apabila gagal mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir".

Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa
mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah".

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada ALLAH S.W.T. Kemudian ALLAH S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat-KU, tulis nama-KU di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu".

Sebaik saja mendapat perintah ALLAH S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan nama ALLAH S.W.T. Sebaik saja melihat nama ALLAH dan cintanya kepada ALLAH S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ke tujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.

5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.

7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: "Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari
kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid;

2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan; dan

3. Orang berpuasa di hari Arafah.