Showing posts with label PESAN ABANG. Show all posts
Showing posts with label PESAN ABANG. Show all posts

Friday, April 5, 2013

HALA TUJU ADIK-ADIK SELEPAS ALAM PERSEKOLAHAN


Assalamualaikum adik-adik kesayangan abang semua.

Pasti ada di antara adik-adik abang yang sedang bergelut dengan pelbagai persoalan. Bagi adik-adik yang baru mendapat keputusan SPM, pastinya berserabut memikirkan apakah langkah seterusnya yang wajar diambil selepas ini. Banyak pilihan menanti di hadapan adik-adik. Sama ada untuk menyambung pelajaran, bekerja atau berkahwin. Bagi adik-adik abang yang ingin menyambung pelajaran, setinggi-tinggi penghargaan abang berikan di atas semangat adik-adik semua.

Namun keputusan untuk sambung belajar juga tidak harus dibuat dengan gopoh! Persoalan yang paling penting adalah kursus apakah yang ingin adik-adik pelajari? Kedua di manakah tempat untuk adik-adik sambung belajar?

Hari ini merupakan hari pertama cuti pesekolahan bulan Mac, namun sejak dari pagi telefon abang berdering-dering. Banyak panggilan dari ibu bapa dan adik-adik abang yang masuk. Antara soalan yang diajukan pada abang ialah: -

“Y dah tahukan result anak akak? Y boleh nasihatkan dia tak untuk sambung belajar? Akak tengok dia macam dah tak de semangat jer. Tambah-tambah lagi lepas seronok dah bekerja sambilan ni. Dah seronok pegang duit sendiri. Pening kepala akak Y”.

“Y free tak minggu depan. Nanti datanglah rumah. Boleh bagi pendapat U mana yang sesuai dengan anak abang”.

“Y tahu tak course apa dan U mana yang sesuai dengan anak auntie?”.

“Abang Y, mak saya suruh ambil course Undang-undang la, tapi saya tak minat. Saya nak jadi chef”.

Abang ingat lagi 3 tahun lepas abang menemankan seorang adik abang dan keluarganya ke Pameran Pusat Pengajian Tinggi di PWTC. Hakikatnya sekarang ini terlalu banyak IPT-IPT yang ada. Sama ada di dalam mahupun luar Negara. Sama ada IPTA apatah lagi IPTS. Pasti ada ibu bapa dan adik-adik yang buntu untuk memilih yang terbaik. Namun yang mana satukah yang paling sesuai untuk adik-adik semua?

Adik-adik harus faham bahawa masa untuk adik-adik bergantung kepada ibu bapa sudah hampir tamat.


Di sini abang dan semua abang-abang dan kakak-kakak di Tri Angle Vision Learning Centre (TAV LC) memberikan beberapa tips untuk adik-adik memilih IPT. Abang tidak mahu adik-adik berjuang separuh jalan sahaja. Abang tak mahu nanti ada kes “Tipah Tertipu” pulak!

Beberapa panduan asas dalam memilih kursus adalah seperti berikut :


PANDUAN SECARA UMUM: -
1. Kenali KELAYAKAN adik-adik & analisa setiap syarat kelayakan minimum sesuatu kursus supaya adik-adik tak rugi memohon sesuatu yang adik-adik sebenarnya tak lepas syaratnya.

2. Kenali MINAT adik-adik ke arah apa? Komputer? Sastera? Sains? Teknikal? Perundangan? Kejuruteraan? Fesyen?

3. Pastikan tempat yang adik-adik pilih SESUAI DENGAN DIRI adik-adik. Ini kerana sesetengah orang tidak mahu terlalu jauh dengan keluarga. Ada juga yang tak mahu belajar di negara yang mempunyai 4 musin kerana takut tak tahan salji. Ada juga yang takut belajar di negara bukan Islam kerana faktor pemakanan.

4. SENARAIKAN kursus yang adik-adik minat dan bincangkan dengan ibubapa, abang, kakak atau cikgu adik-adik supaya dapat nasihat daripada mereka kerana mereka mungkin ada cadangan yang lebih bernas.

5. Jangan ambil kursus yang adik-adik TIDAK MINAT kerana akan mengurangkan semangat untuk belajar nanti.

6. KENALI KEMAMPUAN adik-adik, jika yakin dengan pilihan teruskan sebab rezeki ALLAH yang tentukan.

7. JANGAN IKUT KAWAN kerana yang bakal menghadapi natijahnya adalah diri adik-adik sendiri. Mungkin kursus yang kawan adik-adik minta tersebut adalah sesuai dan terbaik untuk dirinya tapi bukan untuk adik.

8. Selepas buat keputusan tetapi masih dilema lakukanlah SOLAT ISTIKHARAH. Buat keputusan terbaik kerana ia merupakan hala tuju hidup adik-adik.


FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PEMILIHAN KURSUS: -

1. Pencapaian akademik adik-adik

2. Cita-cita (Kerjaya)

3. Minat

4. Keinginan Ibu bapa

5. Pengaruh Rakan Sebaya

6. Lokasi dan pilihan program pengajian



STRATEGI MEMBUAT PILIHAN KURSUS: -

1. Tentukan aliran adik-adik;

2. Pastikan syarat minimum mencukupi;

3. Susun pilihan mengikut keutamaan;

4. Pilih kursus pengajian yang boleh berkembang (untuk peringkat seterusnya); dan

5. Pilih IPT yang diiktiraf



PANDUAN MEMILIH IPTS: -

1. Pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau dulunya dikenali sebagai Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

2. Kemudahan fizikal.

3. Bilangan pensyarah dan kelayakan yang dimiliki.

4. Yuran (buat perbandingan dengan IPTS lain), seperti yang kita ketahui IPTS lebih mahal dari IPTA.

5. Bantuan kewangan (sama ada pinjaman atau biasiswa ditawarkan).

6. Tanya rakan-rakan yang penah belajar di situ.

7. Kemudahan penginapan (sama ada asrama disediakan).



BENARKAH STPM HANYA UNTUK YANG TIDAK CEMERLANG SAHAJA?
Secara klise inilah pandangan umum masyarakat kita. Ramai yang mengelak untuk menduduki STPM. Ini kerana pada anggapan umum, hanya yang tidak cemerlang sahaja memilih untuk menduduki STPM. Benarkah begitu?

Hakikat yang adik-adik perlu tahu, ada banyak kursus di peringkat ijazah yang tidak ditawarkan untuk lepasan matrikulasi. Antaranya Sarjana Muda Kaunseling. Untuk siapa yang minat dalam kursus ini ataupun kursus sarjana muda Psikologi, ada banyak IPTA (malah kebanyakan rasanya) tidak menawarkan kursus ini untuk pelajar matriks. Maknanya pelajar matrikulasi langsung tidak berpeluang untuk mengikuti kursus ijazah dalam bidang-bidang tertentu meskipun keputusan matriks mereka bagus sebab IPTA tersebut memang tidak tawarkan kursus itu untuk lepasan matriks. Sebaliknya hanya pelajar lepasan STPM sahaja yang layak memohon.


Maka jelas di sini bukan matriks, UPU atau STPM yang jadi isu. Tetapi isu yang pertama adalah matlamat hidup, cita-cita ataupun apa sebenarnya minat adik-adik? Mampukah adik-adik?

Sebenarnya STPM pun bagus, abang ada seorang adik yang dapat 8A SPM tapi ayah dia sengaja hantar anak dia tersebut ke STPM dan tolak tawaran ke matriks dan UPU. Akhirnya adik tersebut dapat jadi best student STPM peringkat negeri dan akhirnya dapat tawaran ke luar negara dengan biasiswa penuh Kerajaan Negeri. Tidakkah ini lebih berbaloi?

Kesimpulannya belajar kat mana-mana pun sama. Yang penting diri adik-adik sendiri. Kalau adik-adik jenis yang study dan jenis yang berdisiplin, budak baik dan seorang scorer, pergilah mana-manapun adik tetap akan jadi Sang JUARA!


Tapi kalau adik jenis kaki main, kaki wayang, kaki cintan-cintun, kaki rambu, kaki terlalu aktif dengan aktiviti sosial, maka adik pergilah matrik ke, UPU ke, STPM ke atau overseas sekalipun tentu sukar untuk adik-adik gapai KECEMERLANGAN!!!

Monday, April 1, 2013

BUAT ADIK-ADIK LEPASAN SPM - INGAT ABANG & KAKAK TETAP SAYANG

Buat semua adik-adik kesayangan abang-abang dan kakak-kakak di TAV LC yang baru sahaja terima keputusan SPM...

Bagi adik-adik yang berjaya dengan cemerlang kami ucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH!!! Sesungguhnya abang dan kakak sememangnya berbangga dengan pencapaian adik-adik. Namun harus diingati bahawa ini bukanlah kejayaan tertinggi dalam hidup adik. Ada banyak lagi onak, ranjau, cabaran, dugaan dan ujian yang bakal adik-adik tempuhi. Jangan cepat berasa puas hati dengan kejayaan hari ini. Usaha adik-adik mesti terus dipacu untuk menimba sebanyak mungkin ilmu ALLAH.

Jangan ada rasa riak dalam hati adik-adik dengan kecemerlangan yang adik rangkul hari ini. Ingat secerdik mana pun kita, sebanyak mana pun ilmu yang kita ada, ianya hanyalah amat sedikit berbanding dengan ilmu ALLAH. Ini kerana seluruh ilmu yang ada di dunia ini hanyalah ibarat setitis air di lautan berbanding dengan ilmu ALLAH.

Bagi adik-adik yang gagal memperolehi keputusan yang cemerlang, jangan berputus asa. Jadikan kegagalan hari ini sebagai pembakar semangat dan pemangkin untuk mencapai hari esok yang jauh lebih cemerlang. Pelajari kesilapan hari ini untuk membina hari esok yang jauh lebih baik. Ingat kegagalan hari ini bukanlah penamat segala usaha adik-adik.

Ini semua sudah ketentuan ALLAH. ALLAH mahu adik-adik kesayangan abang pelajari kesilapan yang adik-adik lakukan hari ini agar adik-adik terus mara dan berusaha untuk hari esok yang lebih baik dan cemerlang. ALLAH Maha Tahu inilah keputusan yang paling sesuai dengan adik-adik.

Apapun keputusan yang adik-adik perolehi, kami di TAV LC sentiasa mendoakan yang terbaik untuk masa depan adik-adik. Kami sentiasa menyokong padu setiap langkah adik-adik dalam perjuangan dan kasih sayang kami tidak akan pernah luntur mahupun berubah.

Istimewa buat adik abang, Muhammad Afif Bin Ismail, jutaan TAHNIAH dari abang kerana berjaya dengan sangat cemerlang. Abang sangat bangga dengan pencapaian adik mendapat 9A+, 1A. Moga cita-cita adik untuk menjadi seorang doktor dimakbulkan dan dipermudahkan oleh ALLAH.

Akhir kata, buat adik-adik semua serangkap lagu buat perkongsian kasih kita: -

Adikku muda remaja
Awasi bila melangkah
Wajahmu manis bak gula
Pasti ramai kan tergoda

Tidak dilarang kau bersuka
Asal tahukan batasnya
Jangan sampai adik terlupa
Harapan dan cita-cita

Ibu dan ayah menaruh harapan
Agar kau berjaya di hari kemudian

Bila tiba waktu petang
Dari sekolah kau pulang
Bergalas buku di pinggang
Siapa lihat tertawan

Adik masih bersekolah
Awas segala dugaan
Adik kan ambil periksa
Agar senang masa depan

Tumpukan perhatian dengan sepenuhnya
Serahkan selainnya kepada YANG ESA

Bila adik telah berjaya abang kan turut gembira
Tapi andai sebaliknya jangan kau rasa kecewa
Sekali adik terkandas bukan untuk selamanya
Di hati sematkan pesanan
Ingat abang tetap sayang


Selamat Berjuang adik-adik.....

Saturday, December 29, 2012

BUAT ADIK-ADIK PMR... INGAT ABANG & KAKAK TETAP SAYANG


Buat semua adik-adik kesayangan abang-abang dan kakak-kakak di TAV LC yang baru sahaja terima keputusan PMR...


Bagi adik-adik yang berjaya dengan cemerlang kami ucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH!!! Sesungguhnya abang dan kakak sememangnya berbangga dengan pencapaian adik-adik. Namun harus diingati bahawa ini bukanlah kejayaan tertinggi dalam hidup. Ada banyak lagi onak, ranjau, cabaran, dugaan dan ujian yang bakal adik-adik tempuhi.


Bagi adik-adik yang gagal memperolehi keputusan yang cemerlang, jangan berputus asa. Jadikan kegagalan hari ini sebagai pembakar semangat dan pemangkin untuk mencapai hari esok yang jauh lebih cemerlang. Pelajari kesilapan hari ini untuk membina hari esok yang jauh lebih baik. Ingat kegagalan bukanlah penamat segala usaha adik-adik.


Apapun keputusan yang adik-adik perolehi, kami di TAV LC sentiasa mendoakan yang terbaik untuk masa depan adik-adik. Kami sentiasa menyokong padu setiap langkah adik-adik dalam perjuangan dan kasih sayang kami tidak akan pernah luntur mahupun berubah.


Akhir kata sebaris rangkap lagu buat perkongsian kasih kita: -

Bila adik telah berjaya abang kan turut gembira
Tapi andai sebaliknya jangan kau rasa kecewa
Sekali adik terkandas bukan untuk selamanya
Di hati sematkan pesanan
Ingat abang tetap sayang


Selamat Berjuang adik-adik.....

Friday, October 7, 2011

MANA MAK???


Mana Mak?'

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?







Thursday, September 15, 2011

Warkah Buat Adik




Aassalamualaikum wbt




Istimewa buat tatapanmu adikku...


semoga berbahagia selalu hendaknya, dipayungi rahmat dan kasih sayang ILLAHI.





Adikku,..


Usahlah dijadikan warkah penghubung ini sebagai bahan igauan yang bakal menjauhkan kita dari mengingati Tuhan. Pertemuan dan perpisahan yang tertulis dlm persaudaraan ini hanyalah sebahagian daripada rencana Tuhan untuk menguji debur perasaan yang bergolak buat kita mengawasinya dalam penaklukan diri... Usahlah dikesalkan pertemuan sementara dunia ini. antara kita, tiada hakim yang adil selain Allah Yang Maha Bijaksana.





Adikku,..


Kita merancang, Allah juga merancang. Kadang-kala rancangan kita tercapai mungkin kerana rancangan kita itu bertepatan dgn rancangan Allah dan adakala sebaliknya.


Tapi ingatlah adikku… manusia merancang dengan cita-citanya, Allah menentukan dengan cinta-Nya. Bukankah Allah mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya?





Adikku,..


Perjuangan memang pahit... Jalan bagi seorang yang bernama pejuang bukanlah yang ditabur bunga di sepanjang jalannya... Tapi bertaburan duri yang tajam.. Menikam hatinya,.. lalu dihiris dan diguris penawarnya hanya satu…cintailah Ilahi.





Adikku,..


Jangan jadikan setiap masalah sebagai penyakit. Jadikanlah ia sebagai kematangan diri. Setiap penyakit ada penawarnya, Begitu juga dengan masalah. Pasti ada penyelesaiannya. Abang/kakak bersyukur kerana dipertemukan denganmu adikku. Mungkin adik adalah antara teman yang abang/kakak cari selama ini. Dari pengenalan ini. abang/kakak dapat rasakan ada rahmat di sebaliknya. Mudah-mudahan hingga selamanya, bukan hari ini, bukan hari esok, apatah lagi hati manusia sering berubah. Semua itu terjawab pada diri masing-masing. Adik berhak memilih teman sendiri kerana hati merupakan raja dalam diri manusia...





Adikku ingatlah...


Allah ciptakan setiap kejadian semuanya sepurna. Ia berlaku dengan adil. Meskipun setiap yang baik dan buruk itu juga daripada Allah. Mungkin ada kesilapan yang kita lakukan, Allah beri kita petunjuk... Pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian.. Carilah hikmahnya adikku.. carilah dengan menggunakan akal bukan nafsu adikku...





Adikku,..


Inilah yang dinamakan kehidupan dunia. Jika semuanya cantik, baik, tiada cacat celanya, kita mungkin terpesong, lupa dan lalai dengan hasutan nafsu kehidupan... Tapi ingatlah adikku, akhirat nanti adalah kekal... Kesudahan kita di sana semua dinilai dari kehidupan kita di sini..





Adikku,..


Tiada salahnya kita dipertemukan untuk bersaudara kerana dalam Islam sendiri menyeru kita merapatkan tali persaudaraan. Seringkali abang/kakak panjatkan doa agar persaudaraan yang terjalin ini sentiasa dalam keredhaan Illahi. Kini, abang/kakak semakin yakin kita mampu menelusuri persudaraan ini dengan sebaiknya… Sekalung terima kasih abang/kakak hulurkan buatmu atas huluran ukhuwah yang sangat bermakna buat abang/kakak... Doa abang/kakak sentiasa mengalir dari kejauhan, agar adik dapat menghadapi kehidupan yang mendatang dengan baik.





Adikku...


Antara ketentuan yang ditulis bagi setiap insan apabila lahirnya ke dunia ialah hidupnya, ajalnya, jodohnya dan masa depannya… Mungkin banyak hikmahnya akan berada di sana. Ucaplah kesyukuran, jiwa yg tenang membawa kedamaian dan keindahan.



Salam Sayang,
ABANG & KAKAK

Friday, April 22, 2011

Buat adik-adik dan ibu bapa yang merokok....

Rasulullah SAW pernah bersabda(maksudnya) : “Kelak akan datang kaum-kaum di akhir zaman, mereka suka menyedut asap tembakau dan mereka berkata: Kami adalah umat Muhammad padahal mereka bukan umat ku dan aku juga tidak menganggap mereka sebagai umat ku, bahkan mereka adalah orang yang celaka”

Abu Hurairah R.A yang mendengar sabda tersebut bertanya: “Bagaimana sejarah tembakau itu tumbuh wahai Rasulullah ?” Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya setelah Allah menciptakan Adam dan memerintahkan para malaikat untuk sujud (tanda penghormatan) kepada Adam, seluruh malaikat kemudian sujud kepadanya kecuali iblis. Dia enggan, sombong dan termasuk orang-orang yang kafir.”

Allah bertanya kepada iblis : “Wahai iblis apa yang menyebabkan kamu tidak mahu sujud ketika Aku memerintahkan mu?” Kata iblis: “Aku lebih baik darinya, aku tercipta dari api sedangkan ia dari tanah”. Allah berfirman: Keluarlah engkau dari syurga, sesungguhnya engkau terkutuk dan engkau dilaknat hingga akhir.”

Iblis keluar dalam ketakutan hingga terkencing-kencing. Dari titisan kencing iblis itulah tumbuh sejenis tumbuhan yang dinamakan pokok tembakau.

Nabi bersabda lagi : “Allah memasukkan mereka ke dalam neraka dan sesungguhnya tembakau adalah tanaman yang keji ”








(Kami petik keseluruhan maksud hadis ini dari buku ‘HARAM MEROKOK’ oleh Adil Akhyar muka surat 12)

Kepada adik-adik, ibu bapa yang merokok, moga kita tidak rasa tersinggung hati dengan hadis ini.

Wednesday, December 30, 2009

Nasihat Buat Adik-Adik Kami Yang Terpilih....PLKN



Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

“Ha ha. Padan muka kau kena masuk PLKN!”

Ada adik-adik kami di TAVLC menyertai PLKN pada tahun kedua ia diadakan. Ketika itu terlalu banyak persepsi negatif yang kami dengar tentang PLKN. Baik tentang isu couple, isu rogol, isu dera dan bermacam isu lain lagi. Maka sesiapa dalam Adik-adik dari TAVLC yang diarahkan menyertai PLKN, pasti akan disindir.

“Habislah gelap kulit kau nanti.”

PLKN mengajarkan adik-adik kami begitu banyak perkara. Ada yang baik dan ada yang buruk. Ia mengajarkan adik-adik kami bagaimana manusia boleh berubah apabila diberi kebebasan. Dan ia juga mengajar bagaimana manusia berubah apabila dikongkong dengan jadual yang ketat.

Yang dahulu di sekolah pendiam, boleh jadi aktif.

Yang dahulu di sekolah nakal, boleh jadi alim.

Yang dahulu di sekolah Ketua Pelajar, boleh jadi rosak.

Bayangkan seorang pelajar sekolah agama yang sekolahnya boleh disebut sebagai ‘Forbidden City’ disebabkan terlalu banyak pantang larangnya, tiba-tiba masuk ke PLKN dengan bermacam ragam dan kerenah pelatihnya.

Bayangkan juga seorang pelajar sekolah biasa yang semasa di sekolahnya dahulu mencari kepastian dalam agama, tiba-tiba masuk ke PLKN dan bertemu dengan rakan yang boleh mendorongnya.

Begitulah. Bukan semua jadi jahat. Tetapi bukan semua juga jadi lebih baik.

Cuma masing-masing mendapat pengalaman baru dan mereka bertindak mengikut cara yang mereka rasakan betul.

Bertindaklah!

Adik-adik kami masih ingat setiap malam di kem mereka, aktivitinya adalah menonton drama. Drama yang akan adik-adik kami tonton telah pun disediakan oleh pihak Kementerian. Dan sudah tentu jalan ceritanya tidak diminati oleh kebanyakan pelatih, termasuklah jurulatih yang bertugas.

Kadang-kadang ada jurulatih yang baik hati akan memasang filem yang ada mesej-mesej yang bagus. Tetapi kadang-kadang ada juga jurulatih yang akan buat aktiviti karaoke.

Cuma pada saat-saat seperti itu biasanya tiada tindakan disiplin yang diambil sekiranya ada yang ponteng. Jadi, adik-adik kami dan beberapa orang rakan akan beredar keluar. Ada kalanya adik-adik kami akan ditahan oleh jurulatih.

Jadi adik-adik kami akan berbual-bual dengan jurulatih tersebut untuk mengambil hati jurulatih. Disebabkan itu juga, kadang-kadang ada jurulatih yang membawa adik-adik kami dan rakan keluar makan roti canai pada hari minggu.

Ramai jurulatih yang mahukan pelatih-pelatih PLKN ini menjadi manusia yang bijak. Bijak memilih perbuatan dan bijak dalam budi bicara. Sekiranya kita ada alasan yang kukuh, mereka tidak akan marah. Malah mungkin akan terlebih sayang kepada kita.

Sekiranya ada arahan atau perbuatan yang kita rasa tidak sesuai dengan apa yang kita belajar semasa di sekolah dahulu, bertindaklah dengan cara tidak menyakitkan hati sesiapa.

Sekurang-kurangnya…

“Apa pasal kau nak sibuk-sibuk aku sudah solat atau belum?

Itu yang budak sekolah agama itu pun tak solat lagi.”

Apa yang kita buat biasanya akan terpalit juga kepada golongan yang sama seperti kita.

Memang ketiadaan masa akan menjadi alasan utama. Andai kata kita tiada masa untuk solat di surau, solat sahaja di dalam bilik. Malah adik-adik kami rasa lebih bagus solat di bilik sambil mengajak beberapa rakan sebilik lain turut solat sama.

“Oh, begitu cara kamu sembahyang,” ujar seorang rakan cina, Ng (salah seorang rakan adik-adik kami).

Mudahkan jangan disusahkan.

Cinta Kontrak

“Aku bercinta dengan budak ini dalam kem ini sahaja. Dia pun dah tahu aku ada awek di luar.”

Fenomena mencari pasangan memang sangat meriah di dalam kem PLKN. Rasa cinta kepada seseorang itu fitrah, jangan dilawan. Makin dilawan makin kuat rasa keinginannya. Tetapi perlulah dikawal supaya tidak berlaku apa-apa yang melanggar syariat.

Ada seorang rakan karib adik-adik kami di PLKN. Kata beberapa rakan mereka semasa di sekolah dahulu dia memegang jawatan Exco Tarbiah Badan Agama. Di dalam kem PLKN, dia menjaga segala tindak-tanduknya. Sehinggakan dialah antara pemula usrah adik-adik kami di kem tersebut.

Sekiranya ada di antara adik-adik kami yang tiba-tiba membuka cerita tentang perempuan, pasti dia akan menjauhkan dirinya.

Cuma pada minggu-minggu terakhir adik-adik kami di kem tersebut, adik-adik kami nampak dia sudah mula duduk berdua-duaan dengan pelatih daripada kompeni yang sama.

Makin kuat kita melawan, takut-takut ia terpendam menjadi besar dan nanti kita melepaskan semua keinginan tersebut dalam satu masa. Sehingga membenarkan apa yang tidak patut.

Kita Punya Pilihan

Semasa Bilal bin Rabah diseksa dengan ditindihkan batu di atas badannya, tentu sahaja dia mempunyai pilihan sama ada untuk meninggalkan agama Islam atau tidak. Bayangkan kalau kita sendiri ditindih dengan batu besar pada cuaca yang panas, mungkin sahaja boleh mati.

Dalam filem 2012, Adrian berkata kepada Jackson Curtis(seorang penulis buku), “Adakah kamu yakin bahawa saat manusia tahu waktu kematian mereka, mereka akan bertindak mementingkan diri sendiri?”

Tetapi Bilal bin Rabah tetap dengan pilihannya dan tetap menyebut, “Ahad… Ahad… Ahad…”

Sesungguhnya kita mempunyai kebebasan untuk memilih reaksi terhadap segala tindakan yang terjadi atas diri kita. Kita yang bertanggungjawab sepenuhnya atas jenis tindakan yang kita pilih.


Akhir kata, Abang-abang dan kakak-kakak di TRI ANGLE VISION LEARNING CENTRE mendoakan agar adik-adik yang terpilih tahun ni memegang prinsip 5 cinta dan budaya yg kami terapkan...

Ingatlah... kami SAYANG adik-adik semua...dulu, kini & selamanya... Insya Allah!

Because you are the BEST BEST BEST!!!!!



Ikhlas dari,
Pihak Pengurusan
TRI ANGLE VISION


Thursday, November 26, 2009

CARA TOLAK LAMARAN ORANG - STUDENT VERSION





Bismillah..

Assalamualaikum wrt...

Salam kasih sayang buat semua...

Lama tak menulis...dah tulis..tapi tak publish...menanti masa yang sesuai..ya, kadangkala untuk menyebut atau membincangkan satu2 perkara kena tengok masa yang sesuai..Bahkan, ada sesetengah perkara perlukan kekuatan diri untuk kita menyebutnya..takut mengundang kemurkaan Allah bila kita menyebut sesuatu yang tidak kita amalkan...wal`iadzubillah..Banyak hal yang berlaku akhir2 ini dalam hidup. Belum mampu lagi mentafsir hikmah Allah terhadap segala yang berlaku ini. Mungkin semakin tebal hijab diri kami ini dengan Penciptanya.

(Ya Allah..kami mohon belas kasihMu..kami ingin sentiasa dekat denganMu..kami ingin terus mendampingiMu..terimalah taubat kami Ya Allah)

Asasnya..tak semua hal kita mampu ungkapkan kepada orang lain bahkan orang yang paling dekat dengan kita..kadangkala bila terpaksa juga diungkapkan (hurmm..) 'kaedah'nya mungkin menyakitkan hati! haha.. tak faham? sapa pernah alami die akan faham.. kan? kan?

Kisahnye....

TTI ANGLE VISION LEARNING CENTRE banyak buat Seminar Pecutan Terakhir lately. Maklumlah.. dah masuk musim exam.. sebelum terlupa, Abg-abg & Kakak-kakak nak ucapkan :

SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN BUAT SEMUA ADIK2 KAMI..KAMI SENTIASA DOAKAN ADIK2 SEMUA..EACH ONE OF U!

Jadi bila kami banyak program, macam biasa la, banyak la mesej2 yang abg-abg & kakak-kakak terima..(yang paling tak tahan asyik tanya khabar..pagi sekali, ptg sekali lagi, lepas solat sekali..Gudmorning & Gudnyte tu wajib!Aduyai!)..

Antara yang paling banyak kami terima adalah soalan berkenaan dengan hal-hal couple..(hurmm...mcm tau2 plak!)..Ada soalan2 yang membina..Tapi mcm biase pasti terselit jugak soalan2 nak escape, nak menghalalkan perbuatan bercouple dan yang negatif..

Abg-abg dan Kakak-kakak ucapkan tahniah kepada adik-adik yang memang bertekad dah tak nak couple. Kami tau, memang sakit..kami faham, percayalah..memang sakit sangat2..kita rasa terlalu sakit sebab yang sedang menderita itu adalah NAFSU..cara ata€si : PASTIKAN HATI DIKAWAL AKAL, BUKAN NAFSU LAGI>>BIAR NAFSU MENURUT AKAL

Kami tak mau la cerita panjang soalan-soalan yang ditanya kepada kami.. Kami nak kongsi satu je soalan yang agak laen dari laen : "Kak Reen, mcmana saya nak tolak orang yang nak couple dengan saya secara baik? Saya ada sedikit kelebihan rupa paras sampai saya jadi tak senang bila selalu sangat diusik.Kawan2 ingat saya suka bila selalu diusik..huhu..selalu mcm2 timbul bila saya tolak lamaran pelajar lelaki kat sekolah.saya xsuka dimusuhi"



Time adik ni mesej, KAK REEN (Penyelaras Program TAVLC) dah tido (hehe)..so dalam 'kelaklokan' tu Kak Reen gagahi reply jugak mesej die. Memang susah nak buat bagi orang tak kecik hati bila jadi macam ni. Namun, kalau kita bijak, situasi ini mampu kita tukar kepada dakwah kita kepada rakan kita yang 'melamar' ni. Tujuan : supaya dia faham, sekarang bukan masanya..fokus kepada tanggungjawab untuk menjadi anak dan pelajar yang baik..Lagipun apa la gunanya kan? Bukan boleh kawen lagi pun..hurmmm...Bahkan benda ni akan ganggu study.Yang paling penting awasi tiap perkataan yang keluar dari apa yang cuba kita sampaikan, takut dia salah faham. Jangan buat dia rasa ditolak. Ingat! Lelaki ada ego sendiri. Dari mana? Nafsu lah! Sebab tu kita pernah baca ada yang sanggup menyihir dan lebih dahsyat membunuh bila 'cinta ditolak'. Mak pun selalu pesan : CARI KAWAN RAMAI2...JANGAN CARI MUSUH!

Lebih elok kita cakap : "Saya bukan tak suka awak. Cuma saya rasa belum sampai masanya saya nak bercouple. Saya ada impian untuk buat mama dan papa saya bahagia dengan apa yang saya kecapi dalam hidup. Jadi, segala apa yang saya lakukan sekarang memang untuk mama dan papa saya. Saya taknak komit dengan 'orang' lain sebelum saya mampu bahagiakan dua orang yang paling berjasa dalam hidup saya ni. Satu hari nanti, kalau tepat masa, ketika, keadaan dan SIAPA, saya akan beri komitmen saya untuk bakal keluarga saya..insyaAllah..saya takkan menolak kalau SIAPA yang Allah tentukan untuk saya itu adalah awak."

Jawapan spontan Kak Reen ni (ermmm....) dari pengalaman orang lain dan Kak Reen sendiri.. Kak Reen pun tengah menelaah buku (yang POWER!) tulisan Pahrol Juoi, TENTANG CINTA..selanjutnya tentang couple Kak Reen akan kongsi lepas Kak Reen habis baca buku tu..mungkin entry berkenaan ringkasan yang mampu Kak Reen buat dari buku tersebut..insyaALLAH..

Kalau sape2 ada pendapat laen, atau nak bagi pendapat ttg ape yang dah kami kongsikan dengan adik ni, dipersilakan...takut jugak salah kan!hehe...

Akhirnya, SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

p/s : Kami SAAAAAAYANG adik-adik semua.... Adik-adik lah adik-adik kami dunia & akhirat! Because we are the BEST BEST BEST!!!!!