Friday, February 12, 2010

10 AMALAN YANG TERBALIK

Assalamualaikum saudara-saudaraku sekelian. Di hari yang penuh rahmat dan keberkatan ini marilah kita bersama-sama memuhasabahkan diri dan menghitung serta menilai kembali tentang amalan seharian kita. Kebanyakkan perkara yang kita amalkan adalah terbalik dari apa yang disaran dalam agama ALLAH S.W.T. yang sempurna. Malah ada antaranya pula amat bertentangan dengan tuntutan Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup masyarakat sekeliling. Namun itu bukanlah alasannya. Mari bersama kita perhatikan beberapa amalan di bawah ini sebagai contoh amalan terbalik: -

PERTAMA

KENDURI ARWAH. Keluarga si mati akan mengadakan kenduri arwah beberapa malam. Ada 3 malam. Ada sehingga 7 malam. Ada malam ke-44. Malam ke-100. Kerana percaya roh si mati akan datang. Sesungguhnya amalan ini adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. mengesorkan agar jiran tetangga memasak dan menyediakan makanan untuk keluarga si mati. Ini bertujuan untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut baru sahaja kehilangan orang tersayang dan berada dalam kesedihan yang dalam, terpaksa pula memasak untuk menjamu satu kejiranan. Mereka juga terpaksa mengeluarkan belanja yang bukan sedikit untuk tujuan tersebut. Tidakkah kita yang hadir ke kenduri arwah berasa bersalah? Tambahan lagi tidakkah kita takut bimbang termakan harta anak yatim? Tidakkah kita khuatir bimbang termakan harta si mati yang belum diagihkan kepada yang berhak seperti mana tuntutan syarak (bayar hutang dan sebagainya)?

KEDUA

HADIR KE KENDURI KAHWIN. Kita biasanya akan memberi ang pau atau bahasa lazimnya salam keruk. Kalau tiada duit untuk diberi kita merasa malu untuk hadir ke kenduri tersebut. Sebaliknya kita tak pernah rasa malu untuk hadir menziarahi kematian jika tidak menghulur bantuan. Sedangkan keluarga si mati lebih memerlukan bantuan berupa kewangan. Sebaliknya keluarga pengantin jemput kita makan kenduri untuk meraikan hari bahagia bukan untuk menambah harta. Tidakkah ini terbalik?

KETIGA

MENGHADIRI MAJLIS RASMI BERSAMA PEMIMPIN NEGARA. Kita akan berpakaian segak dan paling cantik. Sesetengah tu pula sanggup berhabis duit untuk solekan dan dandanan. Namun ketika mengadap ALLAH S.W.T. Pemimpin Alam Semesta, kita berpakaian ala kadar sahaja, malah lebih teruk lagi ada yang tidak berbaju. Terbalik tak?

KEEMPAT

KETIKA MENJADI TETAMU DI MAJLIS MAKAN-MAKAN. Kita malu untuk makan sehingga habis. Sanggup kontrol ayu. Semata-mata untuk mengelak dari dikata buruk lantak. Sedangkan Islam menuntut kita menghabiskan makanan tuan rumah demi mengelakkan pembaziran dan mengembirakan hati tuan rumah.

KELIMA

SOLAT SUNAT. Kalau kita di masjid amat rajin kita bersolat sunat. Namun bila di rumah amat malas. Sedangkan Rasulullah s.a.w. menganjurkan untuk perbanyakkan solat sunat di rumah bagi mengelakkan rasa riak.

KEENAM

BULAN RAMADHAN. Sebenarnya puasa Ramadhan adalah medan peperangan melawan hawa nafsu. Ramadhan membawa pengertian kita mengekang hawa nafsu. Terbaliknya kita, kita menjadikan Ramadhan sebagai pesta menjamu nafsu selera. Pembaziran melanda dengan berleluasa. Sehinggakan dalam setahun perbelanjaan di bulan Ramadhan adalah yang tertinggi. Bukankah sepatutnya sebaliknya?

KETUJUH

MENGERJAKAN HAJI. Kebanyakkan dari kita akan membuat kenduri doa selamat sebelum berangkat ke tanah suci. Bila balik tiada kenduri diadakan. Sedangkan Islam menyarankan diadakan kenduri doa selamat selepas balik dari bermusafir. Islam tidak pernah menyarankan kenduri sebelum pergi bermusafir.

KELAPAN

KELAS BIMBINGAN. Kebanyakkan ibu bapa bimbang anak-anak gagal cemerlang dalam akademik. Mereka sanggup berhabis wang ringgit untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen yang harganya sangat tinggi sehinggakan bisnes tuisyen menjadi sangat laku. Sebaliknya ibu bapa tidak kisah sekiranya anak-anak tidak pandai mengaji Al-Qur'an. Untuk membayar RM15.00 sebulan bagi kelas pengajian Al-Qur'an dianggap sangat merugikan.

KESEMBILAN

KERJA KERJA KERJA. Semua orang berlumba-lumba mencari rezeki ALLAH S.W.T. tidak kira siang malam. Malah hari cuti pun sanggup ke pejabat untuk mencari rezeki tambahan. Namun begitu liat untuk ke rumah ALLAH S.W.T. Tidak malukah kita yang merebut rezeki-NYA tanpa mengira waktu, sedangkan pada masa yang sama kita melupakan tanggungjawab kita kepada Si Pemberi Rezeki tersebut?

KESEPULUH

BERSOLEK. Si isteri akan berhias bagaikan peserta ratu cantik bila keluar rumah, tidak kiralah dengan suami atau tidak. Namun bila di rumah penampilannya, Ya Rabbi! Sedangkan ALLAH S.W.T. menggesa si isteri berhias indah hanya untuk suaminya seorang dan haram berhias untuk orang lain. Perbuatan terbalik inilah yang menjadi punca keretakan rumah tangga.

Cukuplah rasanya disenaraikan 10 sahaja amalan terbalik dari ajaran Islam. Marilah kita bersama-sama berlapang dada dan menerima kealpaan kita dengan hati yang terbuka. ALLAH S.W.T. beri kita peluang untuk memperbaiki diri. Marilah bersama-sama kita beralih kepada landasan hidup seperti mana yang sepatutnya dan bukan mengikut selera nafsu kita serta pandangan masyarakat. Usah dipedulikan penilaian orang terhadap kita. Penilaian ALLAH S.W.T. jauh lebih besar. ALLAH S.W.T. yang menciptakan kita, maka biarlah DIA sahaja yang menentukan peraturan hidup kita dan bukan yang lainnya.

Tidak salah untuk kita menjadi langkah permulaan yang membawa perubahan kepada sistem hidup dalam masyarakat yang dah terbalik ini. Mungkin daya usaha kita berseorangan dipandang kecil dalam masyarakat, namun tidak di mata ALLAH Yang Maha Halus Lagi Maha Terperinci.

Suka dikongsi peristiwa sewaktu Nabi Ibrahim a.s. dibakar dalam api menjulang oleh Raja Namrud. Seekor burung kecil terbang dari lautan membawa setitis air dan menuju ke arah julangan api yang marak untuk memadamkannya. Dia berulang alik ke laut untuk mengambil setitis air ke dalam mulutnya. Burung tersebut ditertawakan oleh haiwan yang melihat tingkah lakunya yang dianggap bodoh. Lantas burung tersebut berkata:

"Aku hanya menjalankan tanggung jawabku. Sama ada ia berhasil atau tidak itu bukan urusanku. Itu urusan ALLAH S.W.T. Penguasa Setiap Perancangan".

Begitu hebat pemikiran burung kecil tersebut. Itulah yang sepatutnya kita contohi. Jangan kita rasa malu dengan ejek ketawa sesama makhluk. Sedangkan kita semua akan ditanya oleh ALLAH S.W.T. Raja Hari Pembalasan. Mahukah kita sama tergolong dengan orang-orang yang tertawa itu?

Diharap apa yang tercoret di sini dapat dipanjangkan kepada saudara-saudara kita di luar sana. Hadith riwayat Bukhari "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat".

4 comments:

  1. bagus2. mmg betul sgt2! org kita ni mmg banyak wat menda terbalik. tgk je la perangai ank2 muda sekarang ni.... dh makin ramai suka kaum sejenis... tu pun dh terbalik gak...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih cikgu atas perkongsian yang membina

    ReplyDelete
  3. Betul tu cikgu. naik sakit mata tgk gelagat sumbang diorang tu... laki ada pompuan ada.
    Kepada pihak TAV, bila nak wat program ni?
    dh banyak kali cek, yang sama je...
    tq

    ReplyDelete
  4. terima kasih Puan NorAz Lela atas prihatin tentang program anjuran kami... program terdekat adalah pada cuti persekolahan bulan Mac nanti... buat masa ini pihak kami masih mempertimbangkan lokasi dan tarikh... masih dalam perbincangan terakhir dengan pihak penganjur bersama...

    ReplyDelete