Sunday, January 31, 2010

ABANG, ADIK DAN KASUT


Kami di Tri Angle Vision Learning Centre (TAV LC) sangat mengkagumi kerjaya guru sekolah. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga akan tunjuk ajar guru-guru yang amat dedikasi demi memastikan kami anak bangsa tidak keciciran. Kisah yang ingin kami paparkan kali ini merupakan kisah benar yang dialami oleh seorang guru beberapa tahun yang lalu. Moga kisah ini dapat membuka pintu hati dan akal kita. Buat tatapan semua bacalah kisah yang penuh menyayat hati tentang ABANG, ADIK dan KASUT...

Ceritanya:

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa.

Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk merotannya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan. Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya merotannya lagi. Namun dia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat.

Saya mula merasa tidak sedap hati. Hati kecil saya berkata mesti ada sesuatu yang menyebabkan murid ini sering lambat ke sekolah. Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumah untuk mengetahui apa sebenarnya alasan dia datang lambat ke sekolah.

Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang budak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah. Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula bergenang.

"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju dan kasut tadi?"

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

"Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu" jawabnya.

"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu rotan kamu?"

"Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu".

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu........."

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Adik-adik kesayangan kami semua, mungkin pelajar yang diceritakan di atas merupakan rakan sekelas adik-adik…

Pernahkah adik-adik terfikir ada di antara rakan-rakan adik-adik yang mengalami suratan hidup sesempit ini?

Adakah adik-adik pernah peduli tentang kesusahan rakan-rakan adik-adik?

Adakah suratan nasib adik-adik seperti ini?

Abang percaya mungkin adik-adik abang yang membaca blog ini tidak sesusah ini suratan hidupnya. Namun mengapakah masih ada antara adik-adik yang punya segala keperluan dan kesenangan serta dilimpahi kemewahan hidup masih mencari-cari alasan untuk ponteng sekolah?

Mengapa ada antara adik-adik mencari-cari alasan untuk bermalas-malas dalam menimba ilmu?

Tahukah adik-adik sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah WAJIB bagi kita setiap umat Islam?
Beberapa hadith tentang kewajipan menuntut ilmu: -
1. Sabda Rasulullah s.a.w. "Menuntut ilmu adalah wajib bagi orang-orang Islam"
2. Sabda Rasulullah s.a.w. "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat"
3. Sabda Rasulullah s.a.w. "Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China"

Abang berharap selepas ini jangan ada antara adik-adik abang yang masih leka dan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha mencari ilmu.
Cerita-cerita begini membantu melembutkan hati kita yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara-perkara berikut;

1. solat sunat;
2. puasa sunat;
3. berzikir;
4. bersedekah;
5. mengusap rambut anak yatim;
6. mendengar cerita-cerita kesusahan orang lain; dan
7. membantu orang susah

Abang Y masih ingat lagi pengalaman yang abang alami semasa melancong ke Bandung, Bogor dan Jakarta baru-baru ini. Di sana bertebaran orang susah yang hidup sangat melarat. Remaja dan kanak-kanak terabai yang mana mereka terpaksa mencari rezeki dengan menjual kudap-kudapan di tengah-tengah lebuh raya dengan tidak memakai selipar atau kasut di bawah terik matahari. Mereka terpaksa korbankan pendidikan hanya kerana kesempitan hidup. Kanak-kanak di Jakarta hanya mandi di dalam longkang yang airnya sememangnya tidak bersih. Lebih malang lagi ada yang menagih-nagih simpati orang ramai dengan meminta sedekah. Memang sayu hati mengenangkan nasib dan masa depan mereka.

Jadi abang merayu pada semua adik-adik abang, tolonglah jangan sia-siakan peluang yang ada. Abang-abang dan kakak-kakak di TAV LC sangat sayangkan adik-adik semua.

4 comments:

  1. Ada lagi ke mcm ni skang?
    Takkan sampai kasut pun xmampu nak beli?
    Kalau btol la, saya respect gler bcoz saya yang ada kasut ni pown malas je nak pi skewl...
    hehehehe

    ReplyDelete
  2. Dik... lebih melarat dari itu ada dik... ada jiran abang anak dia hanya sekolah agama jer tapi tak sekolah kebangsaan sebab x mampu... ada masalah surat beranak...

    lagi satu abg ada kenal sorg remaja ni mak bapak dia x mampu nak sekolah kan dia... hidup dia kena jual botol dan surat khabar lama... kalau x cukup duit jualan bapak dia x bagi masuk rumah... dia selalu merempat kat surau tepi rumah abang...

    kadang-kadang kita gagal menyelami kesusahan orang sebab nasib kita x macam tu...

    sama-sama lah kita insafi.... sesungguhnya kesusahan dan kesenangan merupakan ujian dari ALLAH swt... tapi yakinlah ALLAH hanya akan menguji kita dengan apa yang kita mampu... ALLAH x kan sesekali menguji kita dengan apa yang kita tak sanggup...

    MAHA SUCI ALLAH...

    ReplyDelete
  3. "Sampaikan kepada orang-orang Islam..
    1. semua bintang akan terbit dari langit, sesudah itu pintu langit akan tertutup.
    2.tulisan dalam Al-Quran akan hilang.
    3.Matahari akan turun di atas kepala.

    Pesan Hamba:-
    1. berselawatlah untuk junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w
    2.bertaubatlah dengan segera sementara pintu taubat masih terbuka.
    3.janganlah derhaka kepada ibu-bapa."

    ReplyDelete
  4. Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan berikan jalan keluar dari segala masalah dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

    ReplyDelete