Saturday, April 17, 2010

IBU BAPA JUGA MENDEHAKAI ANAK-ANAK! BENARKAH?

Assalamualaikum...
Saya tertarik untuk menulis entri ini selepas mengikuti siaran program "Tanyalah Ustaz" pada pagi Khamis 15-04-2010 lepas. Saya sering juga diajukan beberapa soalan berkaitan dengan topik ini oleh adik-adik yang mengikuti program-program motivasi anjuran pihak Tri Angle Vision Learning Centre (TAVLC).
Hakikatnya sering kita dengar terma ANAK DERHAKA. Namun pernah atau tidak kita dengar panggilan IBU DERHAKA atau BAPA DERHAKA? Sudah pasti ramai di antara kita yang tak pernah terlintas langsung di fikiran bahawa ada IBU DERHAKA atau BAPA DERHAKA. Namun Islam sebagai agama yang paling sempurna tidak mendriskiminasikan penderhakaan hanya merupakan milik mutlak anak-anak.
Menarik bukan? Namun bagaimana si ibu atau bapa boleh menjadi derhaka terhadap anak-anak mereka?
Kisahnya begini...
Pada suatu hari Saidina Umar Al-Khatab r.a. yang ketika itu merupakan Amirul Mukminin, khalifah yang memerintah didatangi seorang lelaki yang ingin mengadukan hal tentang anaknya.
Adu lelaki itu, "Ya Amirul Mukminin, aku sudah tidak tahan lagi dengan perangai anakku".
Soal Saidina Umar r.a. "Apa yang dilakukan oleh anakmu?"
"Anakku saban hari menderhakai aku dan ibunya".
Kemudian lelaki tersebut menceritakan apa yang dilakukan oleh si anak. Setelah mendengar keluhan si ayah, Saidina Umar r.a. memanggil si anak untuk mendengar penjelasannya tentang isu tersebut.
Lantas si anak menceritakan bahawa ibunya seorang wanita yang tidak baik, ibunya tidak tahu menjaga kehormatan beliau sebagai seorang isteri. Ibu dan ayahnya juga memberi nama yang membawa maksud yang tidak baik, dan sering memanggilnya dengan panggilan "keldai". Tambah si anak ibu dan ayahnya juga tidak pernah sekalipun mengajarnya tentang Al-Qur'an dan hadith-hadith Nabi s.a.w.
Setelah mendengar penjelasan si anak, Saidina Umar r.a. memanggil si ayah semula.
"Kamu mengadu padaku yang anakmu saban hari menderhakai kamu suami isteri. Namun tahukan kamu kamu berdua terlebih dahulu menderhakai anakmu dan tidak menghormati hak beliau sebagai anak".
Si ayah berasa terkejut dengan kata-kata Amirul Mukminin tersebut lantas bertanya.
"Apa yang kamu maksudkan Ya Amirul Mukminin. mana mungkin ibu dan ayah boleh menderhakai anaknya".
Jawab Saidina Umar r.a.
"Ibu dan ayah akan menderhakai anak-anak mereka sekiranya mereka melakukan tiga perkara ini: -
1. Bila mereka sering melakukan maksiat dan tidak tahu menjaga maruah keluarga.
2. Bila mereka memberi nama yang tidak baik dan memanggil anak-anak dengan gelaran yang tidak disukai mereka.
3. Bila mereka mengabaikan pendidikan agama yang sepatutnya menjadi asas pendidikan anak-anak. Dan ini merupakan tanggung jawab ibu bapa, dan mereka akan ditanya oleh ALLAH S.W.T. di akhirat kelak.
Jadi ibu bapa di luar sana, marilah kita bersama-sama merenung apakah kesalahan yang telah kita lakukan dalam proses membesarkan anak-anak. Jangan kita mudah melatah seandainya anak-anak kita menderhakai kita.
Pasti ada puncanya. Seharusnya kita perhalusi masalah ini dan sama-sama muhasabah diri kita. Mungkin ada kesilapan yang kita lakukan. Selain itu kaji faktor-faktor luaran dan dalaman. Moga ALLAH S.W.T. sentiasa merahmati kita semua.

No comments:

Post a Comment