Friday, February 27, 2009

TAZKIRAH - MEMAHAMI KEJADIAN DAN KEMULIAAN MANUASIA


MANUSIA adalah makhluk yang dimuliakan dan diangkat darjat atau kedudukannya di sisi Allah SWT. Hal ini jelas dinyatakan dalam maksud firman-NYA, Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam” – (surah al-Isra:70)

Manusia dalam bentuk asal penciptaan atau kejadiannya adalah makhluk yang terbaik (ahsan taqwim). Allah SWT telah memerintahkan malaikat dan iblis sujud kepada Adam sebagai satu penghormatan (bukan penyembahan) sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah al-Baqarah, ayat 34.

Manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan keturunan adalah makhluk Allah SWT yang diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku adalah semuanya sama di segi penciptaan dan fitrahnya.

Sungguh pun begitu Allah SWT menjelaskan bahawa kemuliaan seseorang insan itu adalah terletak kepada ketakwaannya terhadap Allah SWT. Ini dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menjadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan keadaan dan amalan kamu”. – (surah al-Hujarat:13)

Manusia adalah makhluk istimewa yang memiliki dimensi jasmani dan rohani, jiwa dan raga serta dikurniakan nafsu (nafs) dan akal (aql) iaitu kelengkapan yang dikurniakan Allah kepada manusia. Jika kemuliaan manusia diperoleh melalui kemampuannya menggunakan kelengkapan yang dikurniakan Tuhan kepadanya dalam bentuk pengabdian diri yang menepati risalah rasul maka kejatuhan manusia ke lembah kehinaan pula adalah disebabkan kegagalan manusia menggunakan dan memanfaatkan kelengkapan yang diberikan Allah kepadanya.

Allah SWT telah berfirman yang maksudnya, Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia keserendah-rendah peringkat orang yang rendah.” – (surah at-Tiin:4-5)

Dengan kehebatan akal dan kerohaniannya, ia mampu berfikir dan berasa, mampu membuat pilihan (bebas) serta mampu menyesuaikan diri dengan sesuatu yang dihadapinya (perubahan zaman). Namun, jika seandainya fikiran dan jiwanya berada di luar batas fitrah dan kemanusiaannya maka manusia boleh menghadapi ‘krisis rohani’ yang mampu menghakis dan melenyapkan kemuliaan dan makna kewujudannya di alam ini serta mampu membawa malapetaka dan kehancuran dalam kehidupan dan tamadun manusia.

Sesungguhnya sikap, karakter dan tabiat insan itu ada kaitannya dengan unsur yang ada dalam ciptaan dirinya. Tentang kejadian manusia, al-Quran menjelaskan bahawa manusia berasal dari:

Air (al-ma'u): “Dan Kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup” – (al-Anbiyaa': 30). Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan bahawa benda-benda hidup yang dimaksudkan itu termasuklah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Tanah liat (shalshalin kalfakhkhar): “Ia menciptakan manusia lembaga Adam dari tanah liat kering seperti tembikar” – (ar-Rahman:14). Sari dari tanah (sulalatin min thi'n): “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah.” – (Al-Mukminun: 12)

Zat renik (turab): "Kami telah menciptakan kamu dari tanah.” (al-Hajj: 5) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menyatakan kejadian dari tanah ini ialah yang berasal dari pati makanan yang diperoleh dari tanaman dan hidupan di bumi.

Adam adalah manusia awal dan pertama dicipta dari thi'n, sementara anak-cucu Adam (Bani Adam) pula daripada nuthfah lalu berkembang di dalam kandungan ibunya setiap 40 hari dalam setiap proses perkembangannya.

Bermula dari nuthfah (40 hari), alaqah (40 hari) dan kemudian mudghah (40 hari) lalu manusia kemudiannya diberi ruh pada hari ke 120. Proses ini dijelaskan dalam surah seperti Al-Sajdah: 7-9, Al-Hijr :28-29, Shad:71-72. Semua proses perkembangan manusia di dalam rahim ibunya seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran telah dibuktikan melalui ilmu perubatan moden.

Al-Quran turut memperkenalkan tiga nama untuk manusia. Nama ini pula mempunyai maksud tertentu yang menggambarkan mengenai sifat (karakter) insan itu sendiri. Ketiga-tiga nama itu (banyak terdapat dalam al-Quran dan mudah dijumpai) ialah:

(1) Insan yang berasal dari kata ‘uns yang bermaksud jinak, harmoni dan tampak. Juga dari kata nasiya yang bermaksud lupa/lalai.

(2) Basyar: lebih menunjukkan sifat jasmani/lahiriah manusia.

(3) Bani Adam: anak Adam atau zuriat Adam.

Berdasarkan kepada tiga nama yang digunakan oleh al-Quran itu maka dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa Bani Adam (anak Adam), iaitu manusia dapat dilihat dalam dua dimensi atau kaca mata iaitu dimensi Al-Basyar iaitu manusia sebagai makhluk hidup dari aspek biologinya (anatomi dan fisiologinya) dan dimensi Al-Insan iaitu manusia sebagai mahkluk hidup secara psikologi dan berkesedaran yang dihubungkan dengan unsur roh (rohaniah).

Jika kita amati dan fahami unsur ciptaan manusia maka jelaslah bahawa jasmani manusia adalah terbina daripada bahan rendah yang bersifat material iaitu tanah (segumpal darah) yang mudah rosak dan musnah.

Dalam proses tumbesaran fizikal (tubuh badannya) manusia bergantung kepada makanan yang semuanya bermula dari tanah yang kesuburannya bergantung kepada air. Namun bila kita lihat kepada komponen kedua unsur ciptaan manusia iaitu roh (rohani) maka manusia mempunyai destini ke arah alam tinggi, alam metafizik, alam spiritual atau lebih jelas lagi alam akhirat.

Destini yang tinggi ini jelas dapat kita fahami pada tabii yang ada pada manusia iaitu akal (intelek), akhlak serta spiritual insan yang cenderung kepada hal kerohanian dan metafizik.

Muhammad Iqbal dalam menerangkan konsep khudi (diri) menjelaskan bahawa manusia pada hakikatnya adalah makhluk kerohanian (spiritual) di mana ia mampu membangun, mengembang dan menyempurnakan dirinya ke arah penyempurnaan kehidupannya. Manusia melalui potensi kerohanian yang dikembangkan melalui aktiviti intelektual (ilmu pengetahuan), agama, kebudayaan dan kesusasteraan dapat merealisasikan dirinya secara sempurna dan menemukan jati dirinya sebagai khalifah tuhan di muka bumi ini. Melalui aktiviti intelektual dan kerohanian inilah maka terbangun dan berkembangnya tamadun manusia.

Dalam pemikiran filsafat Sunan Bonang (Wali Songo) pula, ulama sufi ini melihat manusia secara rohaninya dilengkapi dengan sifat kekuasaan (jalal), keindahan (jamal) dan kesempurnaan (kamal) Tuhan.

Sunan Bonang melihat seluruh alam dunia ini ada dalam diri manusia dan untuk memahaminya manusia perlu mengenal dirinya. Bagi Sunan Bonang sholat adalah perbuatan menuju dan menyerah diri sepenuhnya kepada ‘Yang Dipuja’ atau ‘Yang Disembah’ iaitu tidak lain ialah Allah SWT.

Di kalangan ahli sufi manusia di anggap tajalli tuhan yang memiliki rahsia ketuhunan. Konsep tasawuf melihat manusia memiliki sifat nasut (kemanusian) dan lahut (ketuhanan). Sifat nasut didasarkan kepada dimensi materi (jasmaniah) manusia sementara sifat lahut pula didasarkan kepada dimensi rohani (spiritual) manusia.

Thursday, February 26, 2009

TAZKIRAH - Renungan Untuk Seisi Keluarga...



ADAB MENDENGAR AZAN


Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.. Lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratul maut' .

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: 'Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak ALLAH akan kelukan lidahmu ketika maut menghampirimu. '

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang. Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan kerana banyak fadhilatnya. Jika lagu Kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, ALLAH akan kelukan lidahnya ketika nazak.

Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah 'Lailahaillallah' yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut ALLAH dgn izin-NYA menjanjikan syurga untuk mereka. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

'Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah 'Lailahaillallah' semasa sakaratul maut menghampiri kami.. Amin... amin.. amin Yarobbala'lamin. .'

Sesuatu yang tak pernah terjangkau dek akal fikiran kita ini. Subhanallah. Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui 'Bahawa ALLAH Sahaja Yang Patut Disembah, dan Nabi Muhammad Adalah Rasul ALLAH.'

Dimulakan dengan Indonesia yang terletak di bahagian timur dengan ratusan kepulauannya dan jumlah penduduknya seramai 180 juta. Sebaik masuk waktu Subuh, azan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan bilal yang akan melaungkan Keagungan ALLAH S.W.T dan Nabi Muhammad S.A.W. Proses ini akan bergerak ke arah barat kepulauan Indonesia. Perbezaan masa antara timur dan barat Indonesia adalah 1-1/2 jam. Belumpun laungan Azan di merata Indonesia selesai, ianya bermula pula di Malaysia. Berikutnya di Burma dan dalam masa satu jam selepas Azan dilaungkan di Jakarta, tiba giliran Dacca di Bangladesh. Berikutnya laungan akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar di barat India.

Perbezaan waktu di kota-kota Pakistan adalah 40 minit jadi dalam jangka masa ini, azan akan berkumandang di seluruh Pakistan. Belum berakhir di Pakistan, azan akan bermula pula di Afghanistan dan Muscat. Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka masa ini, Azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman, Kuwait dan Iraq. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik. Jarak masa azan mula dilaungkan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik adalah 9-1/2 jam. Belumpun azan Subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, azan Zuhur kini sudah mula dilaungkan di Indonesia. Ini berterusan bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus.

Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam! Kalaulah setiap kawasan boleh memasang pembesar suara (yang power habis!), akan bergegar satu dunia dengan laungan Azan tidak putus-putus.

Allahu Akhbar!

Saturday, February 14, 2009

Adab Makan

Abang akan makan bersama dengan adik-adik.... Tiada keistimewaan diberi kepada abang-abang. Ibarat sebuah keluarga.

Sikit sama dirasa...mengajar erti bersyukur dan berkongsi nikmat Allah Yang Maha Esa.

Sunnah Rasul menjadi ikutan dan amalan disamping menerapkan budaya-budaya kami yang lain bagi mempersiapkan adik-adik dengan dunia yang semakin mencabar.