Friday, April 5, 2013

HALA TUJU ADIK-ADIK SELEPAS ALAM PERSEKOLAHAN


Assalamualaikum adik-adik kesayangan abang semua.

Pasti ada di antara adik-adik abang yang sedang bergelut dengan pelbagai persoalan. Bagi adik-adik yang baru mendapat keputusan SPM, pastinya berserabut memikirkan apakah langkah seterusnya yang wajar diambil selepas ini. Banyak pilihan menanti di hadapan adik-adik. Sama ada untuk menyambung pelajaran, bekerja atau berkahwin. Bagi adik-adik abang yang ingin menyambung pelajaran, setinggi-tinggi penghargaan abang berikan di atas semangat adik-adik semua.

Namun keputusan untuk sambung belajar juga tidak harus dibuat dengan gopoh! Persoalan yang paling penting adalah kursus apakah yang ingin adik-adik pelajari? Kedua di manakah tempat untuk adik-adik sambung belajar?

Hari ini merupakan hari pertama cuti pesekolahan bulan Mac, namun sejak dari pagi telefon abang berdering-dering. Banyak panggilan dari ibu bapa dan adik-adik abang yang masuk. Antara soalan yang diajukan pada abang ialah: -

“Y dah tahukan result anak akak? Y boleh nasihatkan dia tak untuk sambung belajar? Akak tengok dia macam dah tak de semangat jer. Tambah-tambah lagi lepas seronok dah bekerja sambilan ni. Dah seronok pegang duit sendiri. Pening kepala akak Y”.

“Y free tak minggu depan. Nanti datanglah rumah. Boleh bagi pendapat U mana yang sesuai dengan anak abang”.

“Y tahu tak course apa dan U mana yang sesuai dengan anak auntie?”.

“Abang Y, mak saya suruh ambil course Undang-undang la, tapi saya tak minat. Saya nak jadi chef”.

Abang ingat lagi 3 tahun lepas abang menemankan seorang adik abang dan keluarganya ke Pameran Pusat Pengajian Tinggi di PWTC. Hakikatnya sekarang ini terlalu banyak IPT-IPT yang ada. Sama ada di dalam mahupun luar Negara. Sama ada IPTA apatah lagi IPTS. Pasti ada ibu bapa dan adik-adik yang buntu untuk memilih yang terbaik. Namun yang mana satukah yang paling sesuai untuk adik-adik semua?

Adik-adik harus faham bahawa masa untuk adik-adik bergantung kepada ibu bapa sudah hampir tamat.


Di sini abang dan semua abang-abang dan kakak-kakak di Tri Angle Vision Learning Centre (TAV LC) memberikan beberapa tips untuk adik-adik memilih IPT. Abang tidak mahu adik-adik berjuang separuh jalan sahaja. Abang tak mahu nanti ada kes “Tipah Tertipu” pulak!

Beberapa panduan asas dalam memilih kursus adalah seperti berikut :


PANDUAN SECARA UMUM: -
1. Kenali KELAYAKAN adik-adik & analisa setiap syarat kelayakan minimum sesuatu kursus supaya adik-adik tak rugi memohon sesuatu yang adik-adik sebenarnya tak lepas syaratnya.

2. Kenali MINAT adik-adik ke arah apa? Komputer? Sastera? Sains? Teknikal? Perundangan? Kejuruteraan? Fesyen?

3. Pastikan tempat yang adik-adik pilih SESUAI DENGAN DIRI adik-adik. Ini kerana sesetengah orang tidak mahu terlalu jauh dengan keluarga. Ada juga yang tak mahu belajar di negara yang mempunyai 4 musin kerana takut tak tahan salji. Ada juga yang takut belajar di negara bukan Islam kerana faktor pemakanan.

4. SENARAIKAN kursus yang adik-adik minat dan bincangkan dengan ibubapa, abang, kakak atau cikgu adik-adik supaya dapat nasihat daripada mereka kerana mereka mungkin ada cadangan yang lebih bernas.

5. Jangan ambil kursus yang adik-adik TIDAK MINAT kerana akan mengurangkan semangat untuk belajar nanti.

6. KENALI KEMAMPUAN adik-adik, jika yakin dengan pilihan teruskan sebab rezeki ALLAH yang tentukan.

7. JANGAN IKUT KAWAN kerana yang bakal menghadapi natijahnya adalah diri adik-adik sendiri. Mungkin kursus yang kawan adik-adik minta tersebut adalah sesuai dan terbaik untuk dirinya tapi bukan untuk adik.

8. Selepas buat keputusan tetapi masih dilema lakukanlah SOLAT ISTIKHARAH. Buat keputusan terbaik kerana ia merupakan hala tuju hidup adik-adik.


FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PEMILIHAN KURSUS: -

1. Pencapaian akademik adik-adik

2. Cita-cita (Kerjaya)

3. Minat

4. Keinginan Ibu bapa

5. Pengaruh Rakan Sebaya

6. Lokasi dan pilihan program pengajian



STRATEGI MEMBUAT PILIHAN KURSUS: -

1. Tentukan aliran adik-adik;

2. Pastikan syarat minimum mencukupi;

3. Susun pilihan mengikut keutamaan;

4. Pilih kursus pengajian yang boleh berkembang (untuk peringkat seterusnya); dan

5. Pilih IPT yang diiktiraf



PANDUAN MEMILIH IPTS: -

1. Pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau dulunya dikenali sebagai Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

2. Kemudahan fizikal.

3. Bilangan pensyarah dan kelayakan yang dimiliki.

4. Yuran (buat perbandingan dengan IPTS lain), seperti yang kita ketahui IPTS lebih mahal dari IPTA.

5. Bantuan kewangan (sama ada pinjaman atau biasiswa ditawarkan).

6. Tanya rakan-rakan yang penah belajar di situ.

7. Kemudahan penginapan (sama ada asrama disediakan).



BENARKAH STPM HANYA UNTUK YANG TIDAK CEMERLANG SAHAJA?
Secara klise inilah pandangan umum masyarakat kita. Ramai yang mengelak untuk menduduki STPM. Ini kerana pada anggapan umum, hanya yang tidak cemerlang sahaja memilih untuk menduduki STPM. Benarkah begitu?

Hakikat yang adik-adik perlu tahu, ada banyak kursus di peringkat ijazah yang tidak ditawarkan untuk lepasan matrikulasi. Antaranya Sarjana Muda Kaunseling. Untuk siapa yang minat dalam kursus ini ataupun kursus sarjana muda Psikologi, ada banyak IPTA (malah kebanyakan rasanya) tidak menawarkan kursus ini untuk pelajar matriks. Maknanya pelajar matrikulasi langsung tidak berpeluang untuk mengikuti kursus ijazah dalam bidang-bidang tertentu meskipun keputusan matriks mereka bagus sebab IPTA tersebut memang tidak tawarkan kursus itu untuk lepasan matriks. Sebaliknya hanya pelajar lepasan STPM sahaja yang layak memohon.


Maka jelas di sini bukan matriks, UPU atau STPM yang jadi isu. Tetapi isu yang pertama adalah matlamat hidup, cita-cita ataupun apa sebenarnya minat adik-adik? Mampukah adik-adik?

Sebenarnya STPM pun bagus, abang ada seorang adik yang dapat 8A SPM tapi ayah dia sengaja hantar anak dia tersebut ke STPM dan tolak tawaran ke matriks dan UPU. Akhirnya adik tersebut dapat jadi best student STPM peringkat negeri dan akhirnya dapat tawaran ke luar negara dengan biasiswa penuh Kerajaan Negeri. Tidakkah ini lebih berbaloi?

Kesimpulannya belajar kat mana-mana pun sama. Yang penting diri adik-adik sendiri. Kalau adik-adik jenis yang study dan jenis yang berdisiplin, budak baik dan seorang scorer, pergilah mana-manapun adik tetap akan jadi Sang JUARA!


Tapi kalau adik jenis kaki main, kaki wayang, kaki cintan-cintun, kaki rambu, kaki terlalu aktif dengan aktiviti sosial, maka adik pergilah matrik ke, UPU ke, STPM ke atau overseas sekalipun tentu sukar untuk adik-adik gapai KECEMERLANGAN!!!

Monday, April 1, 2013

BUAT ADIK-ADIK LEPASAN SPM - INGAT ABANG & KAKAK TETAP SAYANG

Buat semua adik-adik kesayangan abang-abang dan kakak-kakak di TAV LC yang baru sahaja terima keputusan SPM...

Bagi adik-adik yang berjaya dengan cemerlang kami ucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH!!! Sesungguhnya abang dan kakak sememangnya berbangga dengan pencapaian adik-adik. Namun harus diingati bahawa ini bukanlah kejayaan tertinggi dalam hidup adik. Ada banyak lagi onak, ranjau, cabaran, dugaan dan ujian yang bakal adik-adik tempuhi. Jangan cepat berasa puas hati dengan kejayaan hari ini. Usaha adik-adik mesti terus dipacu untuk menimba sebanyak mungkin ilmu ALLAH.

Jangan ada rasa riak dalam hati adik-adik dengan kecemerlangan yang adik rangkul hari ini. Ingat secerdik mana pun kita, sebanyak mana pun ilmu yang kita ada, ianya hanyalah amat sedikit berbanding dengan ilmu ALLAH. Ini kerana seluruh ilmu yang ada di dunia ini hanyalah ibarat setitis air di lautan berbanding dengan ilmu ALLAH.

Bagi adik-adik yang gagal memperolehi keputusan yang cemerlang, jangan berputus asa. Jadikan kegagalan hari ini sebagai pembakar semangat dan pemangkin untuk mencapai hari esok yang jauh lebih cemerlang. Pelajari kesilapan hari ini untuk membina hari esok yang jauh lebih baik. Ingat kegagalan hari ini bukanlah penamat segala usaha adik-adik.

Ini semua sudah ketentuan ALLAH. ALLAH mahu adik-adik kesayangan abang pelajari kesilapan yang adik-adik lakukan hari ini agar adik-adik terus mara dan berusaha untuk hari esok yang lebih baik dan cemerlang. ALLAH Maha Tahu inilah keputusan yang paling sesuai dengan adik-adik.

Apapun keputusan yang adik-adik perolehi, kami di TAV LC sentiasa mendoakan yang terbaik untuk masa depan adik-adik. Kami sentiasa menyokong padu setiap langkah adik-adik dalam perjuangan dan kasih sayang kami tidak akan pernah luntur mahupun berubah.

Istimewa buat adik abang, Muhammad Afif Bin Ismail, jutaan TAHNIAH dari abang kerana berjaya dengan sangat cemerlang. Abang sangat bangga dengan pencapaian adik mendapat 9A+, 1A. Moga cita-cita adik untuk menjadi seorang doktor dimakbulkan dan dipermudahkan oleh ALLAH.

Akhir kata, buat adik-adik semua serangkap lagu buat perkongsian kasih kita: -

Adikku muda remaja
Awasi bila melangkah
Wajahmu manis bak gula
Pasti ramai kan tergoda

Tidak dilarang kau bersuka
Asal tahukan batasnya
Jangan sampai adik terlupa
Harapan dan cita-cita

Ibu dan ayah menaruh harapan
Agar kau berjaya di hari kemudian

Bila tiba waktu petang
Dari sekolah kau pulang
Bergalas buku di pinggang
Siapa lihat tertawan

Adik masih bersekolah
Awas segala dugaan
Adik kan ambil periksa
Agar senang masa depan

Tumpukan perhatian dengan sepenuhnya
Serahkan selainnya kepada YANG ESA

Bila adik telah berjaya abang kan turut gembira
Tapi andai sebaliknya jangan kau rasa kecewa
Sekali adik terkandas bukan untuk selamanya
Di hati sematkan pesanan
Ingat abang tetap sayang


Selamat Berjuang adik-adik.....