Monday, September 27, 2010

SOLAT : TERAPI TERHEBAT YANG DIWAJIBKAN OLEH YANG MAHA ESA

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian. Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.


 


 

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti  Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok telah menjadi manusia perintis di Malaysia mengkaji kesan soalt ke atas kesihatan manusia secara saintifik. Kajian dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu Profesor Wan Abu Bakar mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat dan Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh


 

Dapatan Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas – Aktiviti Otot


 

  • Otot Menjadi Lebih Kuat: Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu
    manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat
    apabila selalu digunakan.Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh.


 


 

Dapatan Ng Siew Chok – Isyarat Otak


 

  • Orang Mendirikan Solat Berfikiran Tenang : Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.


     

  • Tama'ninah Kktiviti paling Tenang: Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan
    berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah," katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.


     

  • Solat Mampu Meningkatkan Daya Fokus: Siew Chok berkata,
    solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.


 


 

Dapatan Dr Fatimah Ibrahim – Komposisi Tubuh


 

  • Perlu Lakuan 5 aktiviti Untuk Kekalkan Tubuh Yang Baik: Untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara
    iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir. Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.


     

  • Solat Jamah Lebih Baik: kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian. Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif. ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang" katanya.


     

  • Solat Tarawih & Puasa: Dr Fatimah berkata,
    solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.


     

  • Pengubat Sakit Pinggang: Posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan. Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat," katanya.


     

  • Pengubat Mati Pucuk: Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut. Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus. Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal," katanya. Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.


     

  • Denyutan Jantung Paling Baik Ketika Sujud: Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring. Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik
    berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya. Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.


 


 

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara
bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama. "Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran," katanya.


 

(Ubah suai dan sumber : Berita Harian)

Friday, September 24, 2010

BETAPA BESARNYA DOA YANG SERING KITA LUPAKAN






Dalam tidak sedar. Begitu besar sekali pengertian doa yang seringkali kita panjatkan ketika duduk di antara dua sujud.





Setiap hari kita memohon di dalam solat kita, tetapi sayangnya, kita hanya memohon tanpa memahami. Sekadar tersebut dibibir, tetapi tidak tersentuh dalam hati kita selama ini. Marilah kita mula menghayati ketika kita duduk di antara dua sujud semasa solat.




Dengan rendah hati nyatakanlah permohonan ampun kepada Allah







Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)






Diamlah sejenak, buka dada dan diri kita untuk menerima ampunan dari Allah seperti membuka diri ketika merasakan hembusan angin sepoi-sepoi atau menerima curahan air hujan ketika kita masih kecil.




Tetaplah membuka diri kita untuk menerima ampunan Allah.





Ulangi permintaan itu beberapa kali hingga kita merasakan ketenangan Kemudian sampaikanlah permintaan kedua.





Warhamni (sayangi aku)




Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih-sayang Allah yang tak terhitung besarnya.

Bukalah dada kita seluas-luasnya agar semakin banyak kasih-sayang Allah yang kita terima.

Ulanglah beberapa kali hingga kita merasa cukup Berturut-turut sampaikanlah permintaan2 berikut dengan cara sebagaimana tersebut di
atas, satu persatu.





Wajburnii (tutuplah aib-aibku)





Warfa'nii (angkatlah darjatku)





Warzuqnii (berilah aku rezeki)





Wahdinii (berilah aku petunjuk)





Wa'Aafinii (sihatkan aku)





Wa'fuannii (maafkan aku)





Setelah selsai, diamlah sejenak lalu sampaikan rasa syukur kita betapa besarnya nilai sebuah doa ini. Sebuah doa yang kita hanya biarkan begitu sahaja.





Dalam tidak kita sedar selama ini kita seperti sedang berpura-pura memohon sesuatu tetapi hati antara tidak dan mahu pantaslah Allah perlakukan kita begitu.




Friday, September 17, 2010

SOLAT AWAL WAKTU & WARNA-WARNA ALAM



Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Rasanya fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.



Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.



Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?



Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur misalnya). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.



Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.



Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.



Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah dikurniakan syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.



Wallahualam.

Wednesday, September 15, 2010

SEMBAHYANG ATAU SOLAT?



Assalammualaikum warahmatullah,



Hampir kebanyakan umat Islam hari ini tidak terlepas daripada menggunakan istilah "Sembahyang" yang merujuk kepada "Solat." Tetapi pada hakikatnya, istilah "Sembahyang" mempunyai maksud atau pengertian yang terdapat unsur "Syirik."

Professor Hasbi As Siddiqi di dalam salah satu bukunya, membahas perkataan "Sembahyang." Katanya; "Sembahyang di ambil daripada perkataan "Sembah" dan "Hyang" yang merujuk kepada nama dewa - dewa yang disembah oleh penganut Agama Hindu dahulu kala. "Sembahyang" juga diertikan sebagai "menyembah berhala yang bernama Hyang."



Dua pakar Bahasa Indonesia, yang salah seorangnya pernah datang ke Malaysia, mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu Dr Daniel juga telah mengesahkan bahawa istilah "Sembahyang" merujuk kepada "menyembah dewa yang bernama Hyang."



Orang Buddha pergi ke Tokong, Orang Hindu pergi ke Kuil dan Orang Kristian pergi ke Gereja menggunakan istilah "Sembahyang," terserahlah kepada mereka, kerana memang terdapat unsur "Syirik" dalam ibadah mereka. Tetapi Umat Islam, Tidak sesuai sekiranya, "Solat" juga diistilahkan sebagai "Sembahyang", yang mana pada asalnya kata sembahyang itu merujuk kepada "menyembah dewa bernama Hyang."



Kalau boleh ubahlah ayat seperti seorang ibu mengarahkan anaknya bangun untuk menunaikan Solat Subuh. "nak, bangun!. pergi "Sembahyang Subuh," kepada "nak, bangun!. Pergi "Solat Subuh." Solat lebih tepat istilahnya.



Mungkin sebahagian daripada kita, akan menganggap bahawa hal ini hanyalah hal yang remeh dan tidak begitu penting. Tetapi bagi mereka yang mempunyai kesedaran Agama dan mementingkan kualiti ibadah, akan sentiasa berhati-hati dan mengambil perhatian akan hal seperti ini.



SEBARKAN . . . Semoga Allah merahmati usaha kita. Amin!.