Monday, December 5, 2011

KEMULIAAN 10 MUHARRAM (HARI ASYURA)


Muharram bermaksud “diharamkan” iaitu dilarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah sehinggalah larangan itu ditamatkan setelah pembukaan kota Mekah. Muharam adalah bulan pertama dalam kalendar umat Islam Hijiriah. Bulan Muharam merupakan bulan yang penuh keberkatan dan rahmat kerana pada bulan ini banyak peristiwa penting berlaku. Pada bulan ini jugalah baginda Rasulullah saw telah memulakan hijrah baginda dari Mekah ke Madinah yang menjadi satu catatan sejarah yang penting dan dikira sebagai tahun permulaan kalendar Islam. Diceritakan juga bahawa pada bulan ini Allah swt mengurniakan mukjizat kepada Nabi-nabi as sebagai tanda penghormatan dan kemuliaan


Bulan Muharam merupakan bulan yang teristimewa disamping ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah kepada Allah swt, terdapat uatu hari yang istimewa iaitu hari Asyura. Pada hari Asyura (10 Muharam) Nabi Adam as dan Nabi Nuh as telah berpuasa tanda bersyukur kepada Allah kerana taubat mereka diterima oleh Allah selepas bertahun-tahun sujud memohon keampunanNya.


Dalam sebuah hadis disebutkan “Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam), maka Allah swt akan memberikan kepadanya pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh ribu orang mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari ini, maka Allah akan meningkatkan darjatnya mengikut setiap bilangan helai rambut anak yatim tersebut.”


Hikmah Berpuasa: Hari Asyura (10 Muharam) Abu Musa Al Madani meriwayatkan dari dari Ibnu Umar r.a. “Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan sesiapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku seumpama bersedekah setahun.” (Riwayat Albazzar) Dari Abu Qatadah r.a. katanya Rasulullah saw pernah ditanya orang tentang puasa hari Arafah. Jawab baginda “Semoga dapat menghapus dosa setahun lalu dan yang akan datang.” Kemudian baginda ditanya pula tentang puasa hari Asyura. Jawab baginda “Semoga dapat menghapus dosa setahun lalu”. (Sahih Muslim)


Kelebihan dan Keutamaan Hari Asyura


  1. Allah swt telah menciptakan langit dan bumi.

  2. Allah menjadikan baginda Adam as dan Hawa as.

  3. Dijadikan syurga dan memasukkan Nabi Adam ke dalam syurga.

  4. Nabi Ibrahim as telah dilahirkan.

  5. Firaun dan bala tenteranya ditenggelamkan di Laut Merah.

  6. Penyakit Nabi Ayyub as disembuhkan.

  7. Taubat Nabi Adam as diterima.

  8. Dosa Nabi Daud as diampunkan.

  9. Kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman as.

  10. Berlakunya hari kiamat.

Perkara yang sunat dilakukan pada Hari Asyura


  1. Berbelanja ke atas anak isteri (kaum keluarga).

  2. Memuliakan fakir miskin.

  3. Menahan rasa marah.

  4. Menunjukkan jalan kepada orang yang sesat.

  5. Menyapu atau mengusap kepala anak yatim.

  6. Banyakkan bersedekah.

  7. Memelihara kehormatan diri.

  8. Mandi sunat. Lafaz niatnya.”Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala”.

  9. Bercelak, fadilatnya tidak akan sakit mata pada tahun itu.

  10. Membaca surah Al Ikhlas Qulhuwallahu Ahad sebanyak seribu kali.

  11. Solat sunat Asyura empat rakaat. Pada rakaat pertama dan kedua selepas Al Fatihah dibaca Qulhuwallahu Ahad sebanyak sebelas kali.

  12. Menjamu orang yang berbuka puasa.

  13. Berpuasa sunat.

Kesimpulan

Semoga Allah swt melimpahkan kita semua dengan rahmat dan hidayatnya disamping rezeki yang berlipat ganda dalam kita berusaha memuliakankan kehadiran bulan Muharam dengan sebaik-baik amal

Friday, December 2, 2011

DOA SEWAKTU BERSUJUD & KEISTIMEWAANNYA






Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s. a. w. yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa didalamnya.

Sabda Rasulullah s. a. w :- "Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."

Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.

"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, iman yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar."

Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat.

Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya.

Rasulullah s. a. w biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud.

Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud:-

"Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat"

Mendengar itu para sahabat bertanya: "Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?"

Jawab baginda: "Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?"

Sahabat Menjawab: "Bahkan !" Rasulullah menyambung: "Kerana sesungguhnya pada hari itu kiamat) muka umatku akan putih (berser-seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka (terutama anggota wudu') putih berseri-seri oleh cahaya wudhu' !!!"

KEISTIMEWAANNYA

Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-

"Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah swt menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud"

Begitulah Allah memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.


"Tunjangkanlah resah mu di dada SOLAT, Himpunkan perit mu di genggaman DOA, Tutupi kekecewaan mu dgn keTAQWAan dan Nilaikan kesucian hati mu dengan keIKHLASAN hati."

KEBESARAN SOLAT 2 RAKAAT

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:

"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. "Tidak"

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad. ' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermak! sud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syura Ma'waa.

Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meski! p! un aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan....."

Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).

* Allah S.W.T telah menyembunyikan hari kiamat (hari kejadiannya) di dalam semua hari.

Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini. Wallahualam

"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila ia mengkehendaki sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat)benda itu: "Jadilah Engkau!", maka ia terus menjadi"-ayat 82, surah Yassin.

Friday, November 11, 2011

Good Luck - SPM 2011 candidates...







Wishing all SPM candidates all over Malaysia - GOOD LUCK !!!
Just do your very, very best.....

Have a nice exam period... 14th Nov - 14th Dec. 2011
GOOD LUCK...


Best Wishes,
The Management
TRI ANGLE VISION

Friday, November 4, 2011

Susu Terakhir Buat Si Kecil





Kisah yg amat menyayat hati dan pastinya akan menyentuh naluri keibuan kita…bacalah.

Kisahnya perihal satu keluarga yang mengalami kemalangan ngeri. Kereta yang mereka naiki terbabas, berpusing, melanggar pembahagi jalan lalu terperosok ke dalam longkang. Dalam kejadian ini, kereta itu remuk teruk dan penumpangnya mengalami kecederaan parah. Cermin hadapan habis retak berderai. Tidak ditekankan keadaan pemandunya. Tetapi saya fikir, pemandunya menemui ajal di situ juga.

Mahu diceritakan, penumpang yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan yang sangat parah. Wajahnya habis berlumuran darah. Dahinya terkopek sehingga menonjolkan tulang tengkorak. Mungkin juga akibat terhantuk pada papan pemuka kereta ditambah dengan pecahan kaca cermin hadapan. Ajaibnya kuasa Tuhan, bayinya selamat tetapi terpelanting ke kerusi belakang. Bayi kecil yang tidak tahu apa-apa itu meraung dan menangis. Mungkin kerana kesakitan, kesedihan, terkejut dan sebagainya.

Sewaktu anggota bomba itu mengambil dan mahu menyelamatkan si kecil tadi, ibunya terketar-ketar dan menggigil sambil memberi isyarat kepada beliau. Subhanallah, rupa-rupanya si ibu tadi mahukan bayinya bagi disusukan. Diselak bajunya dengan sedaya upaya dan disusukan si kecil itu dengan penuh rasa sayu, pilu dan kasih sayang.

Si kecil senyap di dalam dakapan ibunya. Betapa nyamannya dakapan ibu itu sehingga mampu menenangkan si kecil yang ketakutan. Dengan kuasa dan izin Allah, ibu itu tiba-tiba tercungap-cungap mencari nafas, tanda ajalnya yang semakin hampir. Lalu terkapailah si ibu dalam keadaan yang penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang itu. Ya Allah, betapa pilunya situasi itu sehingga merenggut ketenangan anggota bomba tadi.

Itu lah dia kasih sayang seorang ibu. Walau dalam keadaan bertarung nyawa dan menahan kesakitan, masih tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang ibu...menyusukan anak di saat-saat akhir hidup nya. Subhanallah...

Friday, October 21, 2011

Solat atau Sembahyang?




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Assalammualaikum,

Hampir kebanyakan umat Islam hari ini tidak terlepas daripada menggunakan
istilah "Sembahyang" yang merujuk kepada "Solat." Tetapi pada hakikatnya,
istilah "Sembahyang" mempunyai maksud atau pengertian yang terdapat unsur
"Syirik."

Professor Hasbi As Siddiqi di dalam salah satu bukunya, membahas perkataan
"Sembahyang." Katanya; "Sembahyang di ambil daripada perkataan "Sembah"
dan "Hyang" yang merujuk kepada nama dewa - dewa yang disembah oleh
penganut Agama Hindu dahulu kala. "Sembahyang" juga diertikan sebagai
"menyembah berhala yang bernama Hyang."

Dua pakar Bahasa Indonesia, yang salah seorangnya pernah datang ke
Malaysia, mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu Dr
Daniel juga telah mengesahkan bahawa istilah "Sembahyang" merujuk kepada
"menyembah dewa yang bernama Hyang."


Orang Buddha pergi ke Tokong, Orang Hindu pergi ke Kuil dan Orang Kristian
pergi ke gereja menggunakan istilah "Sembahyang," terserahlah kepada
mereka, kerana memang terdapat unsur "Syirik" dalam ibadah mereka. Tetapi
Umat Islam, Tidak sesuai sekiranya, "Solat" juga diistilahkan sebagai
"Sembahyang", yang mana pada asalnya kata sembahyang itu merujuk kepada
"menyembah dewa bernama Hyang."

Kalau boleh ubahlah ayat seperti seorang ibu mengarahkan anaknya bangun
untuk menunaikan Solat Subuh. "nak, bangun!. pergi "Sembahyang Subuh,"
kepada "nak, bangun!. Pergi "Solat Subuh." Solat lebih tepat istilahnya

Mungkin sebahagian daripada kita, akan menganggap bahawa hal ini hanyalah
hal yang remeh dan tidak begitu penting. Tetapi bagi mereka yang mempunyai
kesedaran Agama dan mementingkan kualiti ibadah, akan sentiasa
berhati-hati dan mengambil perhatian akan hal seperti ini.

Friday, October 7, 2011

MANA MAK???


Mana Mak?'

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?







Thursday, September 22, 2011

Iktibar daripada sebatang pensil










Pernah seorang anak lelaki bertanya kepada ibunya yang sedang menulis.

“Apa ibu sedang tulis? Ibu menulis tentang siapa? Atau pengalaman ibu?”

“Ibu menulis tentang diri kamu, tapi ada yang lebih penting daripada itu iaitu pensel ini.”

“Apa yang istimewa tentang pensil ini?” tanya si anak.

“Ibu berharap hidupmu adalah seperti pensil ini. Walaupun sebatang pensil, ada lima nilai yang boleh kita pelajari daripadanya. Mahu tahu?”

“Iya, ibu.”

Pertama, pensil ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini. Jangan lupa, ibarat pensil, ada tangan yang memegangnya. Maka, ingatlah akan adanya kuasa yang membimbing langkah hidupmu iaitu Allah SWT. Dia akan selalu membimbing kita menurut kehendak-Nya.

Kedua, ketika menulis, pensil kerap menjadi tumpul. Ibu terpaksa berheti untuk mengasahnya. Pensil ini pasti menderita ketika diraut, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan bagus tulisannya. Begitu juga akan berlaku dalam hidup kamu. Kamu mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau sebab untuk dirimu menjadi lebih baik.

Ketiga, pensil ini mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun kita boleh memadamkan dan betulkan tulisan ini semula. Begitu yang ibu harapkan kepada anak ibu ini, sentiasalah memperbaiki kesalahan dalam hidup. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaiki kesalahan, kita akan sentiasa berada di jalan yang benar.

Keempat, tahukah anak ibu mana yang lebih penting, luar atau isi pensil ini? Sudah tentu arang atau karbon di dalamnya. Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kamu itu dan hindarilah.

Kelima, pensil ini selalu meninggalkan tanda atau goresan. Begitu juga kamu, apa sahaja yang kamu buat, pasti akan meninggalkan kesannya pada diri atau pada orang lain. Ibu harap kamu akan selalu berhati-hati dan bijak dalam bertindak.

Inilah antara kata-kata yang baik untuk si anak membawa prinsip yang positif. Wahai ibu bapa, jangan berputus asa. Apa sahaja kata-kata semangat yang kita ulang-ulangkan kepada anak-anak (walau nampak seperti mereka tidak mengendahkan) pasti akan membawa bekas dalam jiwa mereka, insya Allah...

Ulang-ulangkanlah!

Thursday, September 15, 2011

Warkah Buat Adik




Aassalamualaikum wbt




Istimewa buat tatapanmu adikku...


semoga berbahagia selalu hendaknya, dipayungi rahmat dan kasih sayang ILLAHI.





Adikku,..


Usahlah dijadikan warkah penghubung ini sebagai bahan igauan yang bakal menjauhkan kita dari mengingati Tuhan. Pertemuan dan perpisahan yang tertulis dlm persaudaraan ini hanyalah sebahagian daripada rencana Tuhan untuk menguji debur perasaan yang bergolak buat kita mengawasinya dalam penaklukan diri... Usahlah dikesalkan pertemuan sementara dunia ini. antara kita, tiada hakim yang adil selain Allah Yang Maha Bijaksana.





Adikku,..


Kita merancang, Allah juga merancang. Kadang-kala rancangan kita tercapai mungkin kerana rancangan kita itu bertepatan dgn rancangan Allah dan adakala sebaliknya.


Tapi ingatlah adikku… manusia merancang dengan cita-citanya, Allah menentukan dengan cinta-Nya. Bukankah Allah mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya?





Adikku,..


Perjuangan memang pahit... Jalan bagi seorang yang bernama pejuang bukanlah yang ditabur bunga di sepanjang jalannya... Tapi bertaburan duri yang tajam.. Menikam hatinya,.. lalu dihiris dan diguris penawarnya hanya satu…cintailah Ilahi.





Adikku,..


Jangan jadikan setiap masalah sebagai penyakit. Jadikanlah ia sebagai kematangan diri. Setiap penyakit ada penawarnya, Begitu juga dengan masalah. Pasti ada penyelesaiannya. Abang/kakak bersyukur kerana dipertemukan denganmu adikku. Mungkin adik adalah antara teman yang abang/kakak cari selama ini. Dari pengenalan ini. abang/kakak dapat rasakan ada rahmat di sebaliknya. Mudah-mudahan hingga selamanya, bukan hari ini, bukan hari esok, apatah lagi hati manusia sering berubah. Semua itu terjawab pada diri masing-masing. Adik berhak memilih teman sendiri kerana hati merupakan raja dalam diri manusia...





Adikku ingatlah...


Allah ciptakan setiap kejadian semuanya sepurna. Ia berlaku dengan adil. Meskipun setiap yang baik dan buruk itu juga daripada Allah. Mungkin ada kesilapan yang kita lakukan, Allah beri kita petunjuk... Pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian.. Carilah hikmahnya adikku.. carilah dengan menggunakan akal bukan nafsu adikku...





Adikku,..


Inilah yang dinamakan kehidupan dunia. Jika semuanya cantik, baik, tiada cacat celanya, kita mungkin terpesong, lupa dan lalai dengan hasutan nafsu kehidupan... Tapi ingatlah adikku, akhirat nanti adalah kekal... Kesudahan kita di sana semua dinilai dari kehidupan kita di sini..





Adikku,..


Tiada salahnya kita dipertemukan untuk bersaudara kerana dalam Islam sendiri menyeru kita merapatkan tali persaudaraan. Seringkali abang/kakak panjatkan doa agar persaudaraan yang terjalin ini sentiasa dalam keredhaan Illahi. Kini, abang/kakak semakin yakin kita mampu menelusuri persudaraan ini dengan sebaiknya… Sekalung terima kasih abang/kakak hulurkan buatmu atas huluran ukhuwah yang sangat bermakna buat abang/kakak... Doa abang/kakak sentiasa mengalir dari kejauhan, agar adik dapat menghadapi kehidupan yang mendatang dengan baik.





Adikku...


Antara ketentuan yang ditulis bagi setiap insan apabila lahirnya ke dunia ialah hidupnya, ajalnya, jodohnya dan masa depannya… Mungkin banyak hikmahnya akan berada di sana. Ucaplah kesyukuran, jiwa yg tenang membawa kedamaian dan keindahan.



Salam Sayang,
ABANG & KAKAK

Tuesday, September 6, 2011

Air Mata Nabi Adam




Tahukah saudara semenjak Nabi Adam terkeluar dari syurga akibat tipu daya iblis, beliau menangis selama 300 tahun. Nabi Adam tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah swt.

Beliau sujud di atas gunung selama seratus tahun. Kemudian menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip. Dari air Mata Nabi Adam itu Allah tumbuhkan pohon kayu manis Dan pokok cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air Mata beliau. Burung itu berkata, "Sedap sungguh air ini."

Nabi Adam terdengar kata-kata burung tersebut. Beliau menyangka burung itu sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepada Allah. Ini membuatkan Nabi Adam semakin hebat menangis. Akhirnya Allah telah menyampaikan wahyu yang bermaksud, "Hai Adam, sesungguhnya aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat Dan hebat dari air Mata taubatmu itu."


"KASIH DIRAYU, SAYANG DIPADU"

Thursday, July 21, 2011

IKTIBAR KISAH BATU BELAH BATU BERTANGKUP: IBU TIDAK BOLEH MERAJUK

Cerita dongeng batu belah batu bertangkup pernah kita dengar. Setidak-tidaknya sekali terutamanya semasa kecil. Hati kita mungkin pernah merasa seram dan ditakut-takutkan oleh kisah seorang ibu menyerahkan dirinya ke dalam sebuah gua batu yang boleh menelan manusia. Lalu hati kita kecut, takut-takut ibu kita pula akan ditelan batu. Lalu kita pun berhenti menangis atau merajuk takut-takut ibu kita akan mengalami keadaan yang sama. Walaupun cerita ini jelas berunsurkan dongeng malah di sesetengah tempat terdapat elemen tahyul, namun cerita ini tetap masyhur disampaikan dari generasi ke satu generasi. Malah karyawan seni Melayu telah memertabatkan kisah ini menjadi sebuah filem suatu masa dahulu.

Diringkaskan kisahnya berlegar di sekitar seorang balu miskin dengan dua orang anaknya yang masih kecil. Yang sulung, seorang perempuan, manakala yang bongsu pula seorang lelaki. Ibu tersebut terpaksa menyara dan memelihara kedua anak itu setelah suaminya meninggal dunia. Justeru ibu miskin tadi terpaksa menyara kehidupan anaknya dengan membuat berbagai-bagai kerja, dari bercucuk tanam, mengambil upah bekerja di rumah orang hinggalah menangkap ikan. Matlamatnya cuma satu, iaitu janganlah kedua anaknya mati kebuluran.

Pada suatu hari, ibu tadi berjaya menangkap seekor ikan Tembakul yang mempunyai telur. Setelah ikan ini siap dimasak, si ibu tadi berpesan kepada anak perempuannya agar memberi anak lelaki kecilnya makan. Manakala dia terpaksa keluar kerana masih ada kerja yang hendak dibuatnya. Sebelum pergi si ibu mengingatkan anak perempuan agar menyimpan sedikit telur ikan Tembakul yang telah siap dimasak untuk dimakannya sewaktu pulang ke rumah nanti. Sepeninggalan ibunya, kakak tadipun memberi adiknya makan. Setelah habis bahagian si adik, kakaknya menjadi bimbang kerana si adik masih belum puas, dia terus menerus minta tambah sedangkan tidak ada lagi telur ikan yang tinggal kecuali yang telah disimpan untuk si ibu.





Si adik terus menangis, merayu-rayu dan merengek-rengek minta tambah. Setelah beberapa lama, si kakak tidak sampai hati, lalu memberi baki telur ikan Tembakul bahagian si ibu untuk adiknya. Telur ikan itu pun habis semuanya. Tidak lama kemudian si ibu pun pulang. Alangkah kecewa hatinya apabila didapati telur ikan yang sangat diinginkannya telah habis dimakan oleh anaknya. Dia kecewa, marah dan benar-benar terkilan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk keluar membawa dirinya ke batu belah batu bertangkup untuk ditelan. Dia pun berlari ke tempat batu itu sambil berkata, "Batu belah batu bertangkup, telanlah aku, ambillah aku. Aku kempunan telur tembakul". Begitu diseru berulang-ulang sambil berlari dengan deras menuju batu belah batu bertangkup. Melihat keadaan itu, si kakak pun mengejar ibunya sambil mengendung adiknya. "Ibu, ibu. Jangan, jangan tinggalkan kami". Pendek cerita, si ibu pun ditelan batu dan tinggallah kedua anak tadi menjadi yatim piatu.




Cerita itu terus bersambung dengan pelbagai episod lagi. Hinggalah kononnya kisah ini berakhir dengan 'happy ending' bila si adik lelaki berkahwin dengan puteri raja dan si kakak juga turut berkawin dengan putera raja. Namun apa yang hendak diiulas di sini cukup hanya setakat itu sahaja. Sebenarnya, fokus kisah ini boleh diberikan ditujukan kepada dua subjek. Pertama, subjek pendidikan, kedua subjek komunikasi. Dalam soal pendidikan, jelas terdapat kepincangan yang besar pada karektor si ibu dalam kisah ini. Sebagai ibu, perbuatan merajuk atas perbuatan anak (dalam kes ini sehingga sanggup membunuh diri) adalah salah. Ibu adalah individu yang mesti mengasihi anaknya sepenuh hati iaitu secara 'love without condition'. Maksudnya, kasih sayang tanpa syarat. Apa sahaja sanggup dikorbankan demi kebahagian anak, sekalipun dirinya sendiri.




Dalam kisah ini, jelas kelihatan jiwa si ibu terlalu kecil dan rapuh, sehingga begitu terkesan dengan perbuatan anaknya yang masih kecil dan belum matang berfikir. Sedangkan dalam proses mendidik anak, kesabaran dan kebijaksanaan sangat diperlukan. Seorang ibu adalah juga seorang pendidik yang benar-benar merasakan tugas mendidik anak ialah amanah besar daripada ALLAH swt. Si ibu harus sedar bahawa dia sedang memikul tugas warisan para rasul khususnya nabi Muhammad saw. Jika seorang jurutera, doktor, peniaga dan juruterbang berdepan dengan benda atau persoalan yang berbentuk fizikal, lain halnya pula dengan si ibu yang berdepan dengan karenah anak iaitu manusia yang punya jiwa, akal, nafsu dan perasaan. Oleh itu seorang ibu sedikit sebanyak mesti memiliki kesabaran para Rasul.




Jika kita buka lembaran sejarah, banyak iktibar yang boleh kita ambil khususnya tentang kesabaran para Rasul menghadapi karenah umatnya. Beberapa kesilapan para Rasul kadangkala diperbetulkan oleh ALLAH s.w.t. terutamanya apabila mereka 'terasa hati' dengan umatnya. Walaupun telah sekian lama berdakwah dan tetap ditolak seruannya, namun ALLAH s.w.t. terus mengingatkan para Rasul-NYA agar tidak berasa kecewa, apalagi merajuk bila berdepan dengan kedegilan umat. Dan beberapa kejadian telah berlaku yang merupakan didikan lansung dari ALLAH s.w.t. agar para Rasul tidak mengulangi kesilapan mereka. Nabi Yunus a.s. misalnya, telah ditelan ikan kerana bertindak meninggalkan kaumnya. Begitu juga yang terjadi kepada Nabi Zakariya as, Nabi Yahya a.s. dan lain-lain. Bukan itu sahaja, bahkan setiap Rasul merasakan kesilapan masing-masing apabila di hadapkan di mahkamah ALLAH s.w.t. di Padang Mahsyar kelak. Oleh hal yang demikian, para Rasul tidak berani menunaikan permintaan umat masing-masing untuk memohon kepada ALLAH s.w.t. bagi mempercepatkan perbicaraan di Padang Mahsyar. Hanya Nabi Muhammad s.a.w. sahaja yang sanggup memohon kepada ALLAH s.w.t. untuk dipercepatkan perbicaraan itu.




Nabi Muhammad s.a.w. telah menunjukkan keunggulan berbanding para Rasul yang lain apabila baginda tidak sedikitpun berasa hati apalagi merajuk terhadap karenah umatnya. Baginda telah menunjukkan ketinggian peribadi apabila sering mendoakan orang yang menentangnya. Peristiwa di Taif misalnya, menunjukkan bagaimana baginda menolak tawaran para malaikat untuk menghancurkan penduduk Taif yang menghinanya. Bukan itu sahaja, bahkan baginda mendoakan agar generasi kemudian penduduk Taif akan mendapat hidayah. Inilah sifat mulia yang menjadi syarat untuk menjayakan proses pendidikan. Tetapi inilah yang tidak ada pada si ibu dalam kisah batu belah bertangkup ini. Sifat mudah merajuknya, bukan sahaja membinasakan dirinya tetapi juga kedua anak yang ditinggalkannya. Si ibu telah merajuk atas sebab yang sangat remeh, iaitu sekadar tidak dapat makan telur ikan, bukan sebab-sebab besar yang boleh dianggap penting dalam hidup. Sikap yang sepatutnya diambil oleh si ibu ialah berlapang dada dengan sikap anak yang belum boleh berfikir apalagi merasai keinginan dan perasaan si ibu.




Anak yang belum baligh, dan mungkin dalam kes ini belum mumaiyiz, sekali-kali tidak boleh dilayan sebagai orang dewasa kerana mereka masih tidak boleh berfikir, menilai dan bertindak dengan betul. Bukan sahaja ibu-bapa, malah ALLAH s.w.t. sendiripun tidak meletakkan sesuatu tanggung-jawab atau kewajiban terhadap anak-anak yang masih belum mumaiyiz dan belum baligh. Hanya apabila baligh barulah anak-anak dikira mampu menilai, berfikir, memilih memutuskan dan seterusnya bertindak dengan betul. Ketika itu barulah input berbentuk ilmu, ajaran dan didikan boleh diterima, difahami dan diamalkan oleh anak-anak. Dan ini hanya dapat dicapai apabila seorang anak itu mencapai usia baligh. Bila baligh barulah si anak dianggap layak untuk dipertanggungjawabkan dan dihukum sekiranya mengabaikan tanggung-jawab itu.




Islam sangat mementingkan tahap akil baligh ini. Ia telah diletakkan sebagai syarat wajib yang perlu ada pada seseorang muslim sebelum diwajibkan melakukan sesuatu perintah. Ini bermakna jika seseorang belum baligh, maka dia belum wajib melaksanakan sesuatu hukum. Manusia yang masih kecil tidak tahu bagaimana menilai yang baik dan buruk untuknya. Fikirannya ketika itu hanya selapis sahaja, nampak seronok, nampak sedap, nampak suka terus dibuat. Tanpa memikirkan apa akibat buruk yang mungkin berlaku. Samada akibat buruk itu berlaku di dunia ataupun di akhirat.






Kenapa anak-anak 7 tahun tidak boleh dipukul? Ini kerana kalau mereka melakukan kesalahan pada usia itu, bukanlah kerana kedegilan atau keengganan mereka tetapi kerana mereka belum cukup matang untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Sebab itu di peringkat ini, memberi ilmu, membimbing dan menunjukkan teladan yang baik lebih utama dari menghukum. Saidina Ali r.a. juga telah memberi panduan bahawa anak-anak yg berumur 7 tahun ke bawah hendaklah diberi kasih sayang secara banyak dengan bermain-main bersama mereka. Supaya dengan itu anak-anak meyakini bahawa ibu-bapa memang sayang dan mengasihi mereka. Setelah mereka berumur 10 tahun ke atas, barulah menurut Saidian Ali r.a., mereka itu boleh didisiplinkan dengan adab-adab dan peraturan.




Malangnya ibu dalam kisah ini, tidak mengikut panduan-panduan yang tepat dalam mendidik dan menangani karenah anak-anaknya. Dia melakukan kesalahan besar kerana menyangka anak-anaknya mementingkan diri dan tidak menyayanginya kerana memakan telur tembakul. Sedangkan sebenarnya, anak itu sayang kepadanya. Tetapi oleh kerana fikiran mereka tidak dapat menjangkau fikiran dan perasaan si ibu, si kakak memberi telur tembakul kepada adiknya. Bukan kerana mementingkan adik lebih dari ibunya, tetapi semata-mata kasihan melihat adik yang menangis-nangis meminta telur tersebut. Dan si anak kecil juga, kerana terlalu kecil, apa yg difikirkan hanyalah makan. Dia belum boleh berfikir tentang perasaan dan kehendak ibunya. Apalah yang boleh difikir oleh anak sekecil itu, melainkan lapar, sakit, bermain dan menangis?






Subjek kedua dalam kisah ini ialah masalah komunikasi antara ibu dan anak-anak. Dalam kisah ini, jelas tidak adanya komunikasi berdasarkan simpati dan empati antara kedua-dua belah pihak iaitu pihak si ibu dengan pihak si kakak tadi. Dalam komunikasi yang baik, sikap 'seek to understand then to be understood' – sikap memahami orang lain terlebih dahulu barulah orang memahami diri kita sangat perlu. Kita mesti cuba menyelami perasaan, keadaan dan juga kesusahan yang dihadapi oleh orang lain sebelum membuat sesuatu tanggapan, atau suatu penilaian terhadapnya. Dalam ini misalnya, si ibu gagal menyelami perasaan si kakak yang simpatikan kepada adiknya. Dan ibu juga gagal perasaan si adik yg begitu sukakan telur ikan.




Sedangkan si ibu boleh membuat pelbagai alasan bagi pihak anaknya, tentang kenapa anak-anaknya bertindak demikian. Contohnya, si ibu boleh beranggapan bahawa anaknya terlalu lapar. Mungkin telur ikan itu yang paling sedap pernah dirasainya dan pelbagai alasan yg lain. Apabila kita meletakkan diri kita pada kedudukan orang yang sedang kita berkomunikasi dengannya, maka mudahlah kita membuang rasa negatif seperti sikap prasangka, prajudis dan marah yg tidak diketahui puncanya. Dalam perhubungan, kita tak boleh mementingkan diri sendiri. Iaitu kita terlalu memikirkan diri kita tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Kalaulah si ibu dapat menyelami dilema yang dihadapi oleh anak perempuannya, dan kelaparan yang dialami oleh anak lelakinya, maka sudah pasti dia rela mengorbankan telur ikan itu.






Si ibu berada di satu keadaan yang boleh menyelami perasaan seorang anak, sedangkan si anak tidak mampu menyelami perasaan si ibu. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu tersebut ialah menahan sabar, menahan lidahnya, menahan perasaan dan berkata pada dirinya sendiri "Anakku hanya seorang budak lelaki yang kecil, terlalu kecil untuk mengerti penderitaanku". Dia harus sedar bahawa anak itu tidak boleh dilayani sebagai seorang dewasa. Dan dia telah meminta terlalu banyak daripada anaknya yang masih kecil. Si ibu harus sedar bahawa ALLAH s.w.t. pun tidak menghukum anak yang masih kecil. Kesimpulannya, jiwa si ibu dalam kisah batu belah batu bertangkup ini terlalu kecil. Terlalu kecil untuk memainkan peranan yang terlalu besar.




Ya, orang yang berjiwa kecil tidak akan mampu mendidik sekalipun seorang anak yang kecil!


---------------------------------------------


Dipetikk & diolah dari genta-rasa.com

Saturday, May 21, 2011

POST PROGRAM


POST PROGRAM - Galeri ini adalah aktiviti kami bersama adik-adik selepas program. Berakhirnya program bukanlah bererti berakhir juga ikatan ukhwah antara kami. Kami sedaya upaya mengekalkan persaudaraan ini atas nama ALLAH. Kami percaya proses motivasi merupakan proses yang berpanjangan, dan ianya tidak akan memberi kesan jangka panjang sekiranya penumpuan hanya diberikan semasa program sahaja.


@ KLIA : Akim is flying to further study in Japan


@ KLIA : Akim is flying to further study in Japan


House Visit : Azree, Abg Y & Ameer


House Visit : Along just recovered from accident


@ KLIA : Along is off to perform umrah


House Visit : Along just back from umrah


Iftar @ Ship Kg Baru : Hillman & Abg Y


House Visit : Halim & Abg Y


House Visit : Along & Abg Y


House Visit : Abg Y, Angah & Ucuk


House Visit : Angah, Abg Y & Ucuk


House Visit : Kiki & Abg Y


House Visit : Kiki & Abg Y


House Visit : Jaie & Abg Y


House Visit : Abg Y, Jaie & Abg Ramdhan