Sunday, January 31, 2010

ABANG, ADIK DAN KASUT


Kami di Tri Angle Vision Learning Centre (TAV LC) sangat mengkagumi kerjaya guru sekolah. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga akan tunjuk ajar guru-guru yang amat dedikasi demi memastikan kami anak bangsa tidak keciciran. Kisah yang ingin kami paparkan kali ini merupakan kisah benar yang dialami oleh seorang guru beberapa tahun yang lalu. Moga kisah ini dapat membuka pintu hati dan akal kita. Buat tatapan semua bacalah kisah yang penuh menyayat hati tentang ABANG, ADIK dan KASUT...

Ceritanya:

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa.

Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk merotannya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan. Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya merotannya lagi. Namun dia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat.

Saya mula merasa tidak sedap hati. Hati kecil saya berkata mesti ada sesuatu yang menyebabkan murid ini sering lambat ke sekolah. Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumah untuk mengetahui apa sebenarnya alasan dia datang lambat ke sekolah.

Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang budak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah. Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula bergenang.

"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju dan kasut tadi?"

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

"Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu" jawabnya.

"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu rotan kamu?"

"Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu".

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu........."

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Adik-adik kesayangan kami semua, mungkin pelajar yang diceritakan di atas merupakan rakan sekelas adik-adik…

Pernahkah adik-adik terfikir ada di antara rakan-rakan adik-adik yang mengalami suratan hidup sesempit ini?

Adakah adik-adik pernah peduli tentang kesusahan rakan-rakan adik-adik?

Adakah suratan nasib adik-adik seperti ini?

Abang percaya mungkin adik-adik abang yang membaca blog ini tidak sesusah ini suratan hidupnya. Namun mengapakah masih ada antara adik-adik yang punya segala keperluan dan kesenangan serta dilimpahi kemewahan hidup masih mencari-cari alasan untuk ponteng sekolah?

Mengapa ada antara adik-adik mencari-cari alasan untuk bermalas-malas dalam menimba ilmu?

Tahukah adik-adik sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah WAJIB bagi kita setiap umat Islam?
Beberapa hadith tentang kewajipan menuntut ilmu: -
1. Sabda Rasulullah s.a.w. "Menuntut ilmu adalah wajib bagi orang-orang Islam"
2. Sabda Rasulullah s.a.w. "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat"
3. Sabda Rasulullah s.a.w. "Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China"

Abang berharap selepas ini jangan ada antara adik-adik abang yang masih leka dan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha mencari ilmu.
Cerita-cerita begini membantu melembutkan hati kita yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara-perkara berikut;

1. solat sunat;
2. puasa sunat;
3. berzikir;
4. bersedekah;
5. mengusap rambut anak yatim;
6. mendengar cerita-cerita kesusahan orang lain; dan
7. membantu orang susah

Abang Y masih ingat lagi pengalaman yang abang alami semasa melancong ke Bandung, Bogor dan Jakarta baru-baru ini. Di sana bertebaran orang susah yang hidup sangat melarat. Remaja dan kanak-kanak terabai yang mana mereka terpaksa mencari rezeki dengan menjual kudap-kudapan di tengah-tengah lebuh raya dengan tidak memakai selipar atau kasut di bawah terik matahari. Mereka terpaksa korbankan pendidikan hanya kerana kesempitan hidup. Kanak-kanak di Jakarta hanya mandi di dalam longkang yang airnya sememangnya tidak bersih. Lebih malang lagi ada yang menagih-nagih simpati orang ramai dengan meminta sedekah. Memang sayu hati mengenangkan nasib dan masa depan mereka.

Jadi abang merayu pada semua adik-adik abang, tolonglah jangan sia-siakan peluang yang ada. Abang-abang dan kakak-kakak di TAV LC sangat sayangkan adik-adik semua.

Friday, January 29, 2010

PERJALANAN UNTUK SOLAT SUBUH




Di satu subuh yang hening, seorang pemuda bangun pagi-pagi buta untuk solat Subuh di masjid. Dia berpakaian, berwudhu dan berjalan menuju ke masjid. Di tengah jalan menuju ke masjid, pemuda tersebut jatuh dan pakaiannya kotor.

Dia bangkit, membersihkan bajunya, dan pulang kembali ke rumah. Di rumah, dia berganti baju, berwudhu, dan kembali berjalan menuju masjid.

Dalam perjalanan kembali ke masjid, dia jatuh lagi di tempat yang sama! Sekali lagi, dia bangkit, membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Di rumah, dia sekali lagi berganti baju, berwudhu dan berjalan menuju ke masjid.

Di tengah jalan menuju ke masjid, dia bertemu seorang lelaki yg memegang lampu. Dia menanyakan identiti lelaki tersebut, lelaki itu tidak menyatakan identitinya sebaliknya menjawab: "Saya melihat kamu jatuh dua kali di perjalanan menuju masjid, jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan kamu".

Pemuda pertama mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid dengan diterangi lampu yang dibawa oleh lelaki tadi. Sampai di masjid, pemuda pertama mengajak lelaki yang membawa lampu untuk masuk dan solat Subuh bersamanya. Lelaki itu menolak. Pemuda itu mengajak lagi hingga berkali-kali dan lagi, namun jawapannya masih sama.

Pemuda bertanya, "Kenapa kamu menolak untuk masuk dan solat?”

Lelaki itu menjawab "Aku adalah IBLIS (syaitan)".

Pemuda itu terkejut dengan jawapan lelaki itu.

Syaitan kemudian menjelaskan, "Aku melihat kamu berjalan ke masjid, dan akulah yg membuat kamu terjatuh. Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masjid, ALLAH mengampunkan semua dosa-dosamu. Aku membuatmu jatuh kedua kalinya dan bahkan itupun tidak membuatmu berubah fikiran untuk tinggal di rumah, kamu tetap memutuskan kembali masjid. Kerana hal itu, ALLAH mengampunkan dosa-dosa seluruh anggota keluargamu. Aku KHUATIR jika aku membuat kamu jatuh untuk kali ketiga, jangan-jangan ALLAH akan mengampunkan dosa-dosa seluruh penduduk desamu, jadi aku harus memastikan bahwa anda sampai dimasjid dengan selamat".

Jadi saudara-saudaraku, jangan biarkan Syaitan mendapatkan keuntungan dari setiap perancangannya. Untuk itu kita tidak seharusnya mudah merasa sebal dan mengalah atas segala rintangan dan ranjau dalam perjalanan menuju kebaikkan.

Jangan melepaskan sebuah niat baik yang hendak kamu lakukan, kerana kamu tidak pernah tahu ganjaran yang akan kamu dapat dari segala kesulitan yang kamu temui dalam usahamu untuk melaksanakan niat baik tersebut.

Monday, January 25, 2010

TOLONG FIKIRKAN WAHAI IBU BAPA

Minggu lalu, ketika menjamah makanan makan malam di sebuah restoran semasa dalam perjalanan ke airport, rakan-rakan pengurus dan fasilitator yang bersama menghantar saya berbicara berkenaan pelbagai isu. Abang Y kemudian menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan kes jenayah yang wujud di Malaysia. Kes-kes sedemikian agak kurang berlaku di Bahrain.

Natijah dari kebimbangan tersebut, beliau bertanya

"Pada pandangan Kak Reen, macam mana cara untuk selesaikan masalah ini"

Saya berfikir sejenak, sudah tentulah jawapan paling mudah bagi seorang Islam adalah berkata

"kita kena kembali kepada Islam"

Tetapi disebabkan jawapan itu terlalu umum, maka saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan idea itu.

"Ia perlukan penyelesaian secara kolektif, semua pihak perlu ada kesedaran untuk merubah keadaan" demikian jawapan permulaan saya.

"Namun yang paling utama perlu berperanan, adalah ibu bapa atau keluarga"

Saya mengulang kembali ingatan sedih dan pedih kita kepada kes Al-Marhumah Nurin Jazlin yang dibunuh kejam dan masih gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa Malaysia sehingga kini.

"Bukankah Nurin dibunuh oleh seorang manusia?, sudah tentunya manusia ini dilahirkan ke dunia oleh seorang ibu dan pastinya dia punyai bapa dan keluarga"

"Namun apakah yang menjadikannya sebegitu kejam?" saya menerang sambil mengajak berfikir.

Memang benar, pelbagai faktor menyumbang, namun bagi saya ia bermula dari hasil didikan pertama ibubapa, sesuai dengan apa yang disabdakan oleh nabi s.a.w

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya?" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Sudah tentu juga ibubapa yang berperanan untuk mencorakkan seorang bayi sehingga menjadi seorang Muslim, mukmin yang bertaqwa.

Kita tidak nafikan faktor persekitaran yang sentiasa menghurungi anak-anak kita khususnya di sekolah, melalui internet, rakan-rakan, games, TV dan lainnya.

JANGAN DIDIK ANAK SECARA SPONTAN

Namun tidak boleh dinafikan, ibubapa mempunyai saham terbesar. Anak-anak adalah satu tugas terbesar buat ibubapa yang sering diabaikan. Sedangkan mereka semua adalah suatu aset dan ‘pelaburan' terpenting. Namun amat kerap mereka menjadi mangsa kurang teliti, kurang perhatian dan tiada perancangan jitu oleh sang ibubapa.

Akhirnya, sebuah aset yang ditangani secara lebih kurang akan menghasilkan hasil yang bukan lebih kurang juga, tetapi hasil lebih buruk malah membawa padah.

Memang benar, kegagalan merancang pendidikan anak-anak adalah sebuah kegagalan masa depan.

Ramai yang merasakan, pendidikan anak-anak boleh dibuat secara spontan, bergantung kepada hari dan masa. Dalam kata lain, bergantung kepada keadaan.

Hakikatnya, anak tidak boleh dididik secara spontan, ia memerlukan satu pelan perancangan khas untuk menjadikan lebih mudah dibentuk. Mendidik mereka seperti mengendalikan sebuah syarikat awam yang sentiasa memerlukan plan induk, teknik khas, contingency plan dan monitoring system.

Kerana itu kita perlukan seorang Chief Operating Officer (COO) untuk anak-anak. Menurut teori ideal Islam, COO yang paling ideal bagi pendidikan anak-anak adalah seorang IBU. Bapa bertindak sebagai Chief Executive Officer (CEO) yang mana, ruang lingkup tugasan, peranan dan tanggungjawabnya lebih besar dan menyeluruh.

"Namun apabila hari ini kedua-dua ibubapa sibuk mencari nafkah, aset di rumah terabai dek kerana pendapatan RM 2,000 (purata) atau RM 5,000 sebulan si ibu". Anak-anak diswastakan kepada nursery yang kurang pengalaman. Kurang penghayatan, kurang sensitiviti dan seumpamanya.

Kita boleh menghantar mereka ke pelbagai jenis kursus dan kem untuk menyuntik sesuatu, namun pokok pangkalnya tetap di atas bahu kita selaku ibubapa. Kalaupun anak telah berubah hasil tarbiyah di dalam kursus, mereka akan tetap melupakan nilai baik tersebut jika ibu bapa masih di takuk lama.

WAHAI IBUBAPA, HORMATI ANAKMU NESCAYA KAMU DIHORMATINYA

"Treat your child with respect" itu saranan Richard Templer, penulis buku parenting yang popular.

Saya amat selesa dengan saranan tersebut, seorang ibubapa yang bijak perlu mengendalikan dan melayan anak-anak mereka dengan penuh penghormatan. Kelak anak-anak akan mencontohi tatacara yang sama.

Biasanya apabila orang dewasa meminta bantuan seorang dewasa yang lain, mereka akan menggunakan bahasa yang sopan. Itu adalah kerana mereka sedar, yang diminta itu tidak mesti untuk membantu, kita perlukan ihsan mereka untuk membantu. Atas sebab itu, kata-kata sopan digunakan, demi memujuk dan mearih ihsan.

Bukankah elok jika cara yang sama untuk anak-anak kita, cuba kita jangan merasakan si anak sentiasa WAJIB untuk mematuhi arahan kita. Kelak nanti si anak apabila meminta kepada ibubapanya atau orang lain, dirasakan mereka semua wajib menurut arahannya.

Si anak juga kerap meminta ibubapanya, mainan itu dan ini. Namun sedikit yang diperolehi.

Maka si anak akan menghadapi kekeliruan.

"ibubapa minta, semua aku kena buat, aku minta, ibubapa tak buat semua pulak"

Lebih teruk dari itu, arahan dari ibubapa kerap dihamburkan dengan kata-kata perintah tanpa hormat dan pujukan serta ihsan. Contohnya:

"makan tu"

"Habiskan ini!"

"Pergi mandi!"

"Cepat masuk kereta!"

"Gosok gigi!"

"Kenapa sepah sangat ni, cepat bersihkan!"

"Heiii, kenapa buat macam tu!"

Itulah yang kerap dilaungkan oleh ibubapa, memekik melolong setiap pagi dan petang serta malam.

Setiap hari anak akan mendengar lolongan kuat menerjah telinga dan hatinya. Kalimah-kaalimah arahan dan larangan sebegitu sudah terlalu biasa, lali hingga ia menjadi masak dan sebati dek pemikiran dan hatinya.

Pada masa yang sama, kita akan dengar kedapatan ibubapa yang mengeluh kerana anaknya kurang beradab ketika remaja dan dewasa. Sedarkah bahawa si anak sebenarnya telah ‘berjaya'. Ya berjaya dalam mencontohi model yang diterapkan oleh ibubapanya sendiri. Namun kini ibubapa merasa sedih dan tidak selesa. Sedarkah ibubapa bahawa si anak yang dibesarkan sedemikian rupa menyangka itulah cara arahan dan permintaan yang terbaik. Bukankah itu yang ditunjukkan oleh ibubapa mereka?.

Justeru, lebih kasar sang ibubapa terhadap anaknya, akan kasar jualah anak terhadap ibubapanya dan orang lain, khususnya di ketika remaja dan dewasa. Malah lebih mendukacitakan, itulah cara yang akan dibawa ke sekolah, mempengaruhi kawan-kawan dan akhirnya menjadi penjenayah yang merasakan tindakannya ‘ok' atau tidak bersalah. Puncanya dari cara didikan dan layanan ibubapa yang kasar.

Patut kita sedari di awal bulan hijrah 1431 ini, bahawa anak layak mendapat sebuah penghormatan, semudah-mudah penghormatan adalah dengan memilih ayat dan kata-kata yang manis didengari, intonasi yang sedap didengar. Cuba tambah sikit sahaja sebagai contoh

"boleh tolong ibu ambilkan barang itu"

"Adik baikkan, tolong ummi kemaskan meja ini boleh?"

Dan pelbagai lagi bentuk ayat yang serupa dengannya.

Di samping itu, jangan sesekali memungkiri janji,, membohongi anak dan lain-lain kelakuan negaitf. Selain anak akan mengambil contoh, mereka juga akan merasa kurang penting berbanding yang lain.

TUNJUKKAN PERHARGAAN TERHADAPNYA

Juga menjadi kebiasaan ibubapa hari ini. Bangun sahaja anak dari tidur dan terus dia menghala ke dapur.

Ibu yang terlihat anak, ayat pertamanya :

"hah apa lagi tu, dah gosok gigi, pergi basuh muka dan gosok gigi!"

"Lepas tu pergi buat itu ini bla la bla"

"Mak boleh tolong angah buat kerja ini tak" pinta si anak lembut

"Ehhh nanti-nanti!, mak tengah sibuk goreng ayam ini" mungkin itu jawapan si ibu.

Terasa dalam hati si anak, dirinya ibarat tidak berharga, kemunculannya hanya bersedia untuk diarah dan ditengking.

Permintaan tidak banyak erti buat si ibu, ‘gorengan ayam lebih utama dari permintaannya.

Malah ketika pulang dari sekolah juga, ibubapa tidak menyambut tetapi dibiarkan anak begitu sahaja.

Tahap si anak ibarat sebuah perabot buruk dan pekakas rumah sahaja. Wujudnya tidak disedari, hilangnya tidak diendah.

Pastinya, anak akan menyimpan itu sebagai standard kehidupan. Nanti kelak itu jugalah yang diperlakukan di masa hadapan.

Kalau ada perhatian dari ibubapa, mungkin hanya perintah demi perintah, larangan demi larangan sahaja.

Justeru, sudah sampai masa kita mengubahnya, kita berhijrah.

Sedarilah bahawa, tatkala kita sedang melakukan tugasan harian di rumah, mengemas baju, memasak dan sebagainya, tatkala anak muncul, anak punyai priority yang lebih tinggi. Jangan dijadikan alasan, tengah buat kerja, basuh baju, gosok baju, jahit baju dan lainnya, kerana tatkala anak muncul, itulah kerja yang paling besar keutamaannya untuk dipenuhi.

Tunjukkan rasa seronok dan gembira kita selaku ibubapa ketika melihatnya, sewaktu pulang dari sekolah (atau sewaktu kita pulang dari kerja), melihatnya di awal pagi dan berpisah dengannya ketika waktu malam untuk tidur. Ia boleh dilakukan dengan ucapan-ucapan yang baik, atau sedikit pelukan dan sentuhan tanda mereka penting buat kita.

KESIMPULAN

Semoga dengan sedikit peringatan untuk diri ini, kita semua mampu berubah menjadi ibubapa yang berperancangan dan memperbaiki pendidikan anak-anak.

Kerana anak-anak itulah kelak bakal menjadi sama ada Imam besar, Pemimpin Negara, Ulama Besar, atau sebaliknya menjadi perompak terulung, penjenayah bersiri dan pengkorup unggul. Nauzubillah.

Perbaikilah masyarakat kita melalui kesedaran peranan ibubapa. Jenayah hakikatnya bermula dari rumah dan perlu ditangani bermula di rumah juga.






Friday, January 22, 2010

CINTA IBU BAPA


Ketahuilah wahai muslim dan muslimah bahawa Allah SWT mewajibkan kita berbuat baik kepada ibu bapa. Adab dan cara kita menghadap mereka mesti lebih istimewa daripada menghadap orang-orang lainnya.

Firman Allah:

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu keduanya perkataan ‘Ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasuh aku sewaktu kecil.” (Al-Isra’: 23-24)

Si anak, sama ada lelaki atau wanita, wajib kepadanya bercakap secara lembut, sopan dan kasih saying kepada ibu bapanya. Si anak tidak boleh bercakap kasar dan mengatakan kata-kata yang tidak baik sekalipun ibu bapanya terkadang memulakan kata-kata kuat dan kasar.

“Di antara kewajipan seseorang mukalaf ialah berbakti kepada ibu bapanya. Ertinya berbuat baik kepada ibu bapa sekalipun mereka itu orang fasik. Bahkan ibu bapa yang bukan muslim pun masih wajib berbuat baik kepadanya. Si anak dituntut pergi menjumpai orang tuanya di gereja kalau keadaan memerlukan.

Wajib mendengar dan mentaati arahan ibu bapa selama mereka menyuruh kepada yang baik dan tidak bertentangan dengan syarak. Kalau yang mereka suruh itu dilarang oleh syarak tidak boleh dilaksanakan.

Firman Allah:

Dan kami wajibkan manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah engkau mengikuti keduanya. (Al-Ankabut: 8)

Emak kita dahulu tersenyum dan gembira, terkadang sambil bersiul atau menyanyi, ketika membasuh kotoran kita. Kalau ibu kita sudah tua apakah kita sanggup tersenyum sambil menyanyi membersihkan kotorannya?

Memang cinta dan kasih saying ibu bapa kita kepada kita sewaktu kecil dahulu tidak sama dengan kasih kita kepada mereka setelah mereka tua. Pepatah mengatakan: “Cinta ibu sepanjang jalan dan cinta anak sepanjang galah.”

Hadis Rasulullah SAW banyak yang menyuruh supaya berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam hadis itu diterangkan tentang ganjaran baik yang diterima orang yang berbakti kepada ibu bapanya, sama ada ganjaran di dunia apalagi di akhirat kelak. Dan sebaliknya, dalam banyak hadis juga diterangkan dosa derhaka kepada ibu bapa. Orang yang derhaka kepada ibu bapanya selain dia mendapat dosa, banyak juga akibat buruk yang akan diterimanya semasa hidup di dunia ini.

"KASIH DIRAYU, SAYANG DIPADU"

Friday, January 15, 2010

CINTA RASUL


Dari Abu Musa R.A, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perumpamaan apa yang dengannya aku diutus oleh Allah iaitu daripada hidayah dan ‘ilmu adalah bagaikan hujan yang lebat yang mengenai bumi.

Maka sebahagiannya adalah kelompok tanah yang subur, menerima kehadiran air dan menumbuhkan ladang gembala serta rumput yang banyak, sebahagian lagi adalah tanah ajadib; iaitu tanah yang boleh menahan air sehingga dengannya Allah member manfaat kepada manusia mereka boleh minum daripadanya, menyiram air dan bercuck tanam.

Dan hujan tadi juga mengenai jenis tanah yang lain iaitu qi’an; tidak boleh menahan air dan tidak boleh menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Begitulah perumpamaan orang yang mengerti agama Allah dan mengambil manfaat dari apa yang Allah mengutusku dengannya. Sehingga dia mengerti dan mengajarkannya. Juga perumpamaan orang yang sama sekali tidak peduli dengan (agama) itu dan tidak mahu menerima petunjuk Allah yang aku diutus kerananya.”
(H.R Bukhari-Muslim)

Berdasarkan hadith di atas, jelas sekali kelahiran Rasulullah SAW itu adalah rahmat; seperti hujan yang turun membawa rahmat kepada bumi serta isinya. Begitulah Rasulullah. Kehadirannya membawa seribu erti, sebagaimana air hujan yang turun dan membawa bersamanya seribu manfaat yang telah dikurniakan oleh Allah. Selari dengan ayat Allah di dalam al-Quran;

“dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(al-Anbiya’:107)

Dan Rasulullah SAW juga telah memberitakan di dalam hadith tersebut bahawa hidayah dan ‘ilmu yang diutuskan oleh Allah bersamanya seumpama hujan yang mengenai beberapa jenis tanah. Pertama, tanah yang subur dan mampu menerima air dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Kedua, tanah jenis ajadib, iaitu tanah yang boleh menahan air dan seterusnya air itu mampu digunakan oleh manusia sebagai manfaat.

Manakala tanah yang ketiga adalah tanah jenis qi’an yang tidak membawa apa-apa manfaat. Tidak boleh menahan air, dan tidak boleh menumbuhkan tumbuhan.

Tanah yang pertama dan kedua, boleh diandaikan seumpama orang yang memahami agama Allah, mengerti dan kemudian mengajarkannya. Merekalah yang memahami ayat Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah dengan sebenar-benarnya. Dan merekalah yang memberi manfaat kepada manusia lain berdasarkan pemahaman mereka kepada Kitab Allah dan juga Sunnah.

Manakala tanah yang ketiga pula, seumpama orang yang tidak mahu menerima ajaran Allah melalui utusanNya; Muhammad SAW, dan tidak pula memberi apa-apa manfaat berdasarkan kefahamannya asalnya (agama asalnya).

Maka sewajarnya kita menghargai kehadiran Rasulullah dengan meluahkan rasa cinta kita kepada baginda. Siapalah kita tanpa utusan Allah itu? Bahkan, rasa cinta kepada Rasulullah adalah salah satu syarat kepada kesempurnaan iman.

Daripada Anas bin Malik R.A daripada Nabi SAW, sabda baginda: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. Pertama, hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya mengatasi selain keduanya. Kedua, hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintai kerana Allah. Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka.”
(H.R Bukhari-Muslim)

Lihatlah bagaimana kecintaan yang mendalam kepada Allah dan Rasul-Nya mampu membawa seseorang untuk merasa kemanisan iman. Ini bukanlah perkara yang enteng. Firman Allah di dalam al-Quran al-Karim;

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Ali ‘Imran:31)

Golongan yang mengikuti Rasullah adalah dari kalangan orang yang mencintai Allah. Merekalah hamba yang dikasihi oleh Allah dan diampunkan dosa-dosa mereka oleh Allah. Dan seperti mana kita ketahui, golongan yang mengikuti ajaran Rasulullah adalah orang yang mencintai baginda.

Lihat sajalah pada sejarah apabila para sahabat yang menerima ajaran Islam sanggup melakukan apa sahaja demi kecintaan mereka kepada Rasulullah serta agama yang haq. Sahabat-sahabat seperti Abu Bakr, Umar, Uthman, Abu Hurairah, dan lain-lain sanggup mengorbankan harta mereka, juga masa mereka untuk mendampingi Rasulullah semata-mata untuk menzahirkan rasa cinta mereka selain untuk mengakkan syiar Islam.

Berikut adalah komentar al-Hafiz Ibn Kathir mengenai ayat tersebut:
“Ayat ini adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan Muhammad. Maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa yang didakwa sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi dalam semua perkataam, perbuatan dan hal ehwalnya seperti yang pasti dalam shahih al-Bukhari daripada Rasulullah SAW:
Sesiapa yang beramal dengan satu amalan yang tidak di atas petunjuk kita, maka ianya tertolak.”

Jadi dapat dijelaskan di sini adalah bahawa sesiapa yang mencintai Allah, maka dia mengikuti apa yang telah Muhammad SAW sampaikan. Dan seperti apa yang telah dijelaskan sebelum ini, golongan yang mengikuti Rasulullah SAW adalah dari kalangan mereka yang mencintai baginda.
Dan bagaimana pula kita menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW?

Kita nilaikan.
Daripada Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Demi jiwaku berada di tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku dikasihi olehnya lebih daripada ayah dan anaknya.”
(H.R Bukhari-Muslim)

Rasulullah SAW telah memberitakan di dalam hadith baginda bahawa tiada sempurna keimanan seseorang Muslim melainkan dia mengasihi baginda melebihi bapa atau anak yang dilahirkannya. Maka sudah jelas bahawa kecintaan Rasulullah itu adalah satu kecintaan yang sangat tinggi dan perlu dipamerkan tanpa memerlukan hari-hari yang tertentu.

Tiada perlunya kita untuk memilih tarikh-tarikh yang khusus untuk kita pamerkan kadar kecintaan terhadap Rasulullah SAW. Lihatlah bagaimana perumpamaan yang telah diberikan oleh Rasulullah: “tidak beriman seseorang kamu sehingga aku dikasihi olehnya lebih daripada ayah dan anaknya.” Maka sebagaimana kecintaan kita terhadap bapa, mahupun anak kita yang tiada perlu hari yang khusus untuk dipamerkan, begitu juga dengan cara mencintai Rasulullah; iaitu tidak memerlukan tarikh, hari mahupun masa yang khusus. Bahkan lebih daripada itu.
Dan cara yang terbaik untuk mempamerkan kecintaan kepada Rasulullah adalah dengan cara mengamalkan sera meng-ihya’-kan Sunnah baginda Rasul. Inilah yang dipanggil sebagai ‘al-Hubb Wa al-Ittiba’ iaitu cinta (Hubb) akan Rasulullah dan mengikuti (Ittiba’) segala Sunnah Rasulullah SAW.

Tidak memadai hanya mencintai Rasulullah tanpa mengikuti ajarannya. Maka, bagi yang mencintai Rasulullah akan mengikuti Sunnah baginda tanpa sesekali meninggalkannya sehingga luput. Inilah yang dipanggil sbagai men-lestari-kan Sunnah.

Dari Jabir R.A, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaanku dan perumpamaanmu adalah seperti lelaki yang menyalakan api, maka semua belalang, kupu-kupu dan laron berkerumun (berjatuhan) dalam api itu, sementara dia berusaha melindunginya dari api (supaya tidak terjatuh ke dalam api). Dan aku adalah orang yang memegangi pinggang kamu sementara kamu banyak yang lepas dari kedua tanganku.”
(H.R Muslim)

Rangkap “dan aku adalah orang yang memegangi pinggang kamu sementara kamu banyak yang lepas dari kedua tanganku” sepatutnya membawa seribu erti kepada kita. Di kala Rasulullah SAW meluahkan segalanya untuk mengeluarkan kita dari azab neraka. Kita pula berlewa dengan berlepas diri daripadanya. Segala yang baik telah Rasulullah sampaikan melalui Kalam Allah serta Sunnah baginda.


Cinta ku pada Rasul tidak bertepi
Cinta ku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada Rasul tidak berbelah bahagi
Cinta ku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada Rasul tidak ‘kan sepi
Cinta ku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada Rasul tidak mengenal hari
Cintaku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada rasul bukan kepalang
Buktinya ada; Sunnahnya ku julang.

Friday, January 8, 2010

TANDA-TANDA CINTA KEPADA ALLAH


Ramai orang berkata ia Cinta kepada Allah Subhanahuwa Taala. Katanya itu hendaklah diuji sama ada tulen atau hanya palsu.

Ujian pertama ialah; Dia hendaklah tidak benci kepada mati kerana tidak ada orang yang enggan bertemu dengan sahabatnya. Nabi Muhammad saw bersabda;

"Siapa yang ingin melihat Allah, Allah ingin melihat dia."

Memang benar ada juga orang yang ikhlas cintanya kepada Allah berasa gentar apabila mengingat kedatangan mati sebelum ia siap membuat persediaan untuk pulang ke akhirat, tetapi jika betul-betul ikhlas adia akan bertambah rajin berusaha lagi untuk membuat persediaan itu.

Ujian kedua ialah ia mestilah bersedia mengorbankan kehendaknya untuk menurut kehendak Allah dan sedaya upaya menghampirkan diri kepada Allah dan benci kepada apa sahaja yang menjauhkan dirinya dengan Allah. Dosa yang dilakukan oleh seseorang itu bukanlah bukti ia tidak cinta kepada Allah langsung tetapi itu membuktikan yang ia tidak menyintai Allah sepenuh jiwa raganya. Fudhoil bin Iyadh seorang wali Allah berkata kepada seorang lelaki;

"Jika sesiapa bertanya kepada mu samada kamu cinta kepada Allah, hendaklah kamu diam kerana jika kamu kata: "Saya tidak cinta kepadaNya", maka kamu kafir dan jika kamu berkata, "Saya cinta", maka perbuatan kamu berlawanan dengan katamu."

Ujian yang ketiga ialah ingat kepada Allah itu mestilah sentiasa ada dalam hati manusia itu tanpa ditekan atau diusahakan benar, kerana apa yang kita cinta itu mestilah sentiasa kita ingat. Sekiranya cinta itu sempurna, ia tidak akan lupa yang dicintainya itu. Ada juga kemungkinan bahawa sementara cinta kepada Allah itu tidak mengambil tempat yang utama dalam hati seseorang itu, maka cinta kepada menyintai Allah itu mungkin mengambil tempat jua, kerana cinta itu satu perkara dan cinta kepada cinta itu adalah seperkara lain pula.

Ujian keempat kemudian menunjukkan adanya cinta kepada Allah ialah bahawa seseorang itu cinta kepada Al-Quran, iaitu Kalam Allah, dan cinta kepada Muhammad iaitu Rasul Allah. Jika cintanya benar-benar kuat, ia akan cinta kepada semua orang kerana semua manusia itu adalah hamba Allah. Bahkan cintanya meliputi semua makhluk, kerana orang yang kasih atau cinta kepada seseorang itu tentulah kasih pula kepada kerja-kerja yang dibuat oleh kekasihnya itu dan cintanya juga kepada tulisan atau karangannya.

Ujian kelima ialah ia suka duduk bersendirian untuk maksud beribadat dan ia suka malam itu lekas datang agar dapat berbicara dengan rakan atau sahabatnya tanpa ada yang menggangu. Jika ia suka berbual-bual di siang hari dan tidur di malam hari maka itu menunjukkan cintanya tidak sempurna. Allah berfirman kepada Nabi Daud,

"Janganlah terlampau karib dengan manusia, kerana ada dua jenis manusia tersingkir dari MajlisKu: iaitu mereka yang bertungkus mencari ganjaran dan menjadi pemalas apabila mereka mendapat ganjaran itu; dan mereka yang mementingkan diri mereka sendiri lalu melampaui aku. Tanda tidak redhanya aku ialah aku biarkan mereka begitu sahaja."

Pada hakikatnya, jika cinta kepada Allah itu benar-benar mengambil tempat seluruhnya didalam hati seseorang itu, maka cintanya kepada yang lain itu tidak akan dapat mengambil tempat langsung ke dalam hati itu. Seorang dari Bani Israel telah menjadi kebiasaan sembahyang di malam hari.
Tetapi apabila melihat burung bernyanyian di sepohon pokok dengan merdu sekali, dia pun sembahyang di bawah pokok itu supaya dapat menikmati nyanyian burung itu. Allah menyuruh Nabi Daud pergi berjumpa dia dan berkata,

"Engkau telah mencampurkan cinta kepada nyanyian burung dengan cinta kepadaKu, Martabat engkau di kalangan Auliya' Allah telah diturunkan,"

Sebaliknya ada pula orang yang terlalu cinta kepada Allah, suatu hari sedang ia melakukan ibadatnya kepada Allah rumahnya telah terbakar, tetapi ia tidak nampak dan sedar rumahnya terbakar.

Yang keenam ialah ibadatnya menjadi senang sekali. Seorang Wali Allah ada berkata,

"Dalam tiga puluh tahun yang pertama saya melakukan sembahyang malam dengan susah payah sekali, tetapi tiga puluh yang kedua sembahyang itu menjadi seronok dan lazat pula kepada saya." Apabila cinta kepada Allah itu sempuna, maka tidak ada kesoronokan yang setandimg dngan keseronokan ibadat.

Yang ketujuh ialah orang yang cinta kepada Allah itu akan cinta kepada mereka yang taat kepada Allah dan mereka benci kepada orang-orang kafir dan orang-orang yang derhaka kepada Allah. Al-Quran mnyatakan "mereka itu bersikap kasar kepada orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka sendiri." Suatu masa, Nabi bertanya kepada Allah, "Wahai Tuhan, siapakah kekasihmu?" Terdengarlah jawapan,

"Siapa yang berpegang teguh kepadaKu seperti bayi dengan ibunya, mengmbil perlindungan dengan MengingatiKu seperti burung mencari perlindungan disarangnya, dan yang marah melihat dosa seperti singa yang marah yang tidak takut kepada apa dan siapa pun."

Friday, January 1, 2010

ADAB MEMOTONG KUKU

RASULULLAH S.A.W bersabda "Barang siapa yang mengerat kukunya pada: -


Hari Sabtu : Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit (mempusakai penyakit akilah yang disebabkan banyak makan)


Hari Ahad : Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan (hilang keberkatan)


Hari Isnin : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat (mempusakai alim fadhil – orang yang berilmu dan mempunyai kelebihan)


Hari Selasa : Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit (mempusakai kebinasaan)


Hari Rabu : Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan (mempusakai perangai jahat)


Hari Khamis : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit (mempusakai kekayaan)


Hari Jumaat : Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada ALLAH S.W.T. (mempusakai ilmu dan lemah lembut)




ADAB-ADAB MEMOTONG KUKU
Bahagian kuku tangan: -


1. Bermula dengan kuku tangan kanan. Dimulai dengan jari telunjuk, diikuti dengan jari hantu, jari manis, jari kelingking kemudian barulah ibu jari (ilustrasi seperti dalam gambar).


2. Setelah siap tangan kanan barulah kuku tangan kiri pula. Dimulai dengan jari kelingking, jari manis, jari hantu, jari telunjuk dan diakhiri dengan ibu jari.

Bahagian kuku kaki: -


Dimulai dengan jari kelingking kaki kanan seterusnya mengikut tertib sehinggalah kuku jari kelingking kaki kiri (ilustrasi seperti dalam gambar).




DOA KETIKA MEMOTONG KUKU


Diriwayatkan oleh Saidina Ja'afar R.A. berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda " Barangsiapa mengerat atau memotong kuku dan misainya pada setiap hari Jumaat dan ketika memotong kuku dan misainya itu dia berdoa:
Maka sesungguhnya tiadalah gugur apa yang dikeratnya itu melainkan dengannya pahala memerdekakan seorang hamba sahaya dan baginya tiada sakit melainkan sakit mati".




Subhanallah, mulia dan sempurna sungguh agama ALLAH S.W.T. Hinggakan perkara remeh seperti ini diberi perhatian mendalam dan pahala yang tak terduga.

SALAM 2010

Selamat menyambut tahun baru 2010. Semoga tahun ini akan terus membawa sinar kecemerlangan dalam segenap bidang yang diceburi. Kejar cita-cita, dan impian serlahkan usaha yang jitu disamping keazaman yang tinggi. Jangan lupa tawakal dan doa. Kejayaan, kecemerlangan pasti tercapai.

"Ya Allah berkatilah usaha yang aku lakukan, iringilah dengan rahmat dan taufikmu. Kurniakanlah kejayaan dalam segenap bidang yang kuceburi. Amin "



"KASIH DIRAYU SAYANG DIPADU"


Ikhlas dari,
Pihak Pengurusan
TRI ANGLE VISION