Friday, February 26, 2010

ANTARA 3! YANG MANAKAH ANDA IKUT???


Manusia: Eh! Dah Subuh!
Malaikat: Bangunlah wahai Anak Adam!Tunaikan Solat Subuhmu.
Syaitan: Ah! Kejaplah! Ngantuk ni! Awal lagi ni...


Manusia: Laparnya! Nak makanlah.
Malaikat: Wahai Anak Adam, mulakan dengan bismillah.
Syaitan: Ahh! Tak payahlah. Dah lapar sangat ni! Hmmm sedapnya...


Manusia: Hari ni nak pakai apa ye?
Malaikat: wahai Anak adam, pakailah pakaian yang menutup auratmu.
Syaitan: Ish! Gila apa pakai baju tu? Panas ni! Lagipun nampak kampung la baju tu. Pakai yang seksi la baru orang tengok...


Manusia: Alamak! Dah lewat!
Malaikat: Bersegeralah wahai manusia. Nanti terlewat ke pejabat.
Syaitan: Awal lagi. Surah je kawan punch kan lah...


Manusia: Azan dah kedengaran.
Malaikat: Wahai Anak Adam, bersegeralah tunaikan kewajibanmu.
Syaitan: Baru pukul berapa. Relexla. Awal lagi...


Manusia: Eh, eh... tak boleh tengok ini, berdosa
Malaikat: Wahai anak Adam, alihkanlah pandanganmu, sesungguhnya ALLAH Maha Melihat lagi Maha Mengetahui!
Syaitan: Perggghh... best tu.... rugi ooo kalau tak tengok nie.


Manusia: Saudaraku sedang melakukan dosa
Malaikat: Wahai anak Adam, cegahla ia
Syaitan: Apa kau sibuk? Jangan jaga tepi kain orang, lantaklahh


Manusia: Elok kalau aku sampaikan nasihat ini kepada orang lain
Malaikat: Wahai anak Adam, nasihat-menasihatilah sesama kamu
Syaitan: Sendiri pikirlah, semua dah besar, buat apa susah-susah, pandai-pandailah


Manusia: Aku telah berdosa
Malaikat: Wahai anak Adam, bertaubatlah kamu, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun
Syaitan: Tangguhlah dulu, lain kali boleh bertaubat, lagipun muda hanya sekali, rugilah


Manusia: Kalau pergi, mesti seronok!
Malaikat: Wahai anak Adam, kakimu ingin melangkah ke jalan yang dimurkai ALLAH, berpalinglah dari jalan itu
Syaitan: Jangan bimbang, tiada sesiapa yang tahu. Jomlahhh


Manusia: Uuhhh! Letihnya arini, tak solat lagi ni
Malaikat: Wahai anak Adam, taatilah ALLAH dan Rasul-NYA, kebahagiaan di dunia dan akhirat untukmu. Solat itu wajib bagimu
Syaitan: Hey anak Adam, ikutilah aku, kebahagiaan di dunia (sahaja) dan kebahagiaan diakhirat (jangan mimpi lah!) untukmu


Sekarang anda mempunyai 3 pilihan:
1. Anda (manusia): Apakah yang perlu kulakukan? Patutke aku biarkan tazkirah ini begitu sahaja
2. Malaikat: Ingatkan pada kawan yang anda kenal. Kongsi segala kebaikkan agama ALLAH bersama saudara di luar sana
3. Syaitan: Tak payahlah sibuk-sibuk

Monday, February 22, 2010

LEMBARAN HIDUP WANITA SOLEHAH


Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah,

Agong cintanya kepada ALLAH dan Rasulullah,

Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah,

Penawar hati kekasih ALLAH,

Susah dan senang rela bersama,



Dapatkah kudidik jiwaku seperti Siti Aishah,

Isteri Rasulullah yang bijaksana,

Pendorong di kala kesusahan dan penderitaan,

Tiada sukar untuk dilaksanakan,



Mengalir air mataku,

Mengenangkan pengorbanan Puteri Junjungan Siti Fatimah,

Akur dalam setiap perintah,

Taat kepada ayahanda yang sentiasa berjuang,

Tiada memiliki harta dunia,

Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga,



Ketika aku marah dan cemburu,

Ingin benar kuintip serpihan sabar,

Dari catatan hidup Siti Sarah,

Yang merelakan suami dikongsi,

Bersama wanita hamba abdi,



Tabah jiwaku ini,

Adakah setabah Umi Ismail,

Menggendong bayi yang masih merah,

Mencari air penghilang dahaga,

Ditinggal suami akur tanpa bantah,

Sendirian di padang pasir merah,

Hanya berserah kepada ALLAH,

Itulah wanita Siti Hajar,



Dapatkah kutahan gelora nafsu,

Tidak mengharap dibelai serta ditatang,

Dari cinta seorang lelaki,

Hanya inginkan cinta hakiki,

Seagung cinta Rabiatul Adawiyah,



Tercabarkah naluri keibuanku,

Yang merelakan anak dan suami disiksa teruk,

Berserah terus pada Pencinpa Agong,

Seperti wanita syuhadah Sumayyah,



Mampukah aku menjadi wanita solehah,

Yang mati dalam keunggulan iman,

Bersinar indah harum tersebar,

Bagai wanginya pusara Masyitah.

Friday, February 19, 2010

KISAH SUSU IBU (SEMPURNANYA ISLAM)

Assalamualaikum warahmatullah, kami ingin berkongsi satu kisah yang sangat menarik. Kisah ini berkisar tentang rahsia susu ibu dan kaitannya dalam wasiat di dalam Islam. Mari bersama kita hayati...

Kisahnya begini. Beberapa dekad yang agak lama dahulu, di sebuat hospital di Amerika, dua orang ibu telah melahirkan anak pada hari yang sama. Seorang melahirkan anak lelaki manakala seorang lagi anak perempuan.


Masalah mula timbul bila mana kedua-dua ibu tersebut mengatakan dan menuntut bahawa mereka merupakan ibu kepada bayi lelaki. Perbalahan pun berlaku. Kaki tangan hospital dan doktor yang mengedalikan kes tersebut buntu. Pada ketika itu masih belum ada teknologi penentuan DNA lagi.


Doktor Amerika tersebut bertanyakan rakan setugasnya yang berasal dari Mesir, apakah tindakan yang perlu diambil? Rakannya mengesorkan untuk dijalankan ujian darah. Malangnya ia juga menemukan jalan buntu memandangkan kedua-dua ibu tadi mempunyai kumpulan darah yang sama.


Doktor berbangsa Amerika tadi merayu bantuan dari rakannya tadi yang beragama Islam itu. Katanya tolonglah dicari jalan penyelesaian kerana dia selalu mendengar orang mengatakan bahawa Islam merupakan agama yang sempurna dan setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya yang ditunjukkan di dalam Al-Qur'an.


Doktor berbangsa Mesir tadi tergamam! Kerana sungguhpun dia seorang yang beragama Islam, namun pengetahuan agamanya amat cetek. Beliau merasa tercabar dan malu kerana tidak mengenali agamanya dengan lebih dekat. Namun beliau yakin dan pasti sememangnya pasti ada jalan keluar dari masalah ini ditunjukkan oleh ALLAH S.W.T. di dalam kitab suci Al-Qur'an.


Maka doktor berbangsa Mesir tadi mengajak rakannya doktor berbangsa Amerika berjumpa dengan seorang ulama' berbangsa Mesir juga. Setelah diceritakan dilema yang mereka hadapi, ulama' tadi menyuruh kudua-dua doktor tadi mengambil contoh air susu dari kedua-dua ibu yang mendakwa bayi lelaki tersebut adalah anak mereka. Doktor Amerika tadi pun mengambil contoh air susu kedua-dua ibu tadi dan menjalankan ujian ke atasnya. Setelah hasil ujian diperolehi mereka pergi berjumpa semula dengan ulama' tadi.


Hasil pemerhatian dari ujian susu ibu tadi didapati bahawa salah satu susu tersebut memiliki dua (2) kali ganda bahan-bahan yang terdapat dalam susu ibu seperti kalsium, zat besi dan sebagainya. Maka ulama' tadi berkata ibu yang susunya mempunyai dua kali ganda khasiat itulah merupakan ibu kepada bayi lelaki dan ibu yang satu lagi merupakan ibu kepada bayi perempuan.


Terkejut kedua-dua doktor tadi. Doktor berbangsa Amerika tadi bertanya apakah ini diajar di dalam Al-Qur'an? Ulama' tadi menjawab "YA!" Di dalam a-Qur'an telah dijelaskan bahawa anak lelaki mempunyai 2 kali ganda hak berbanding anak perempuan di dalam mewarisi harta. Susu ibu merupakan hak bagi setiap bayi yang dilahirkan. Maka ia secara fitrahnya akan menurut sebagaimana yang ALLAH S.W.T. tetapkan, di mana dua bahagian untuk anak lelaki dan hanya satu bahagian untuk anak perempuan.


Menarik bukan kisah di atas? Jadi secara fitrah ALLAH S.W.T. telah terang-terangan mengatakan tentang hukum secara tersirat. Mengapakah kita masih mempertikaikan keadilan undang-undang ALLAH S.W.T. tentang pembahagian harta pusaka? Ada di antara kita begitu lantang mengatakan undang-undang ini tidak adil dan bersifat diskriminasi terhadap wanita! Benarkah begitu hakikatnya? Tidak sama sekali! Sebenarnya undang-undang ini menjamin dan membela nasib wanita. Bagaimana?


Wanita sememangnya mewarisi bahagian harta yang sedikit berbanding lelaki. Namun bahagian yang diwarisinya itu adalah hak mutlak dirinya dan tidak untuk dikongsi bersama suami. Haram bagi suami memakan harta isteri. Sedangkan lelaki yang mewarisi harta yang lebih banyak, namun ianya untuk digunakan bagi menyara anak isteri. Wajib bagi suami memenuhi nafkah keluarga. Nah! Tidakkah undang-undang pembahagian harta pusaka di dalam Islam sebenarnya membela wanita?


Wallahua'lam...

Tuesday, February 16, 2010

KEM REMAJA S.P.I.E.S.

Perbincangan Dalam Kumpulan



















Adik Rezadi Osy Imamura - Peserta Terbaik

KEM REMAJA S.P.I.E.S





Friday, February 12, 2010

10 AMALAN YANG TERBALIK

Assalamualaikum saudara-saudaraku sekelian. Di hari yang penuh rahmat dan keberkatan ini marilah kita bersama-sama memuhasabahkan diri dan menghitung serta menilai kembali tentang amalan seharian kita. Kebanyakkan perkara yang kita amalkan adalah terbalik dari apa yang disaran dalam agama ALLAH S.W.T. yang sempurna. Malah ada antaranya pula amat bertentangan dengan tuntutan Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup masyarakat sekeliling. Namun itu bukanlah alasannya. Mari bersama kita perhatikan beberapa amalan di bawah ini sebagai contoh amalan terbalik: -

PERTAMA

KENDURI ARWAH. Keluarga si mati akan mengadakan kenduri arwah beberapa malam. Ada 3 malam. Ada sehingga 7 malam. Ada malam ke-44. Malam ke-100. Kerana percaya roh si mati akan datang. Sesungguhnya amalan ini adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. mengesorkan agar jiran tetangga memasak dan menyediakan makanan untuk keluarga si mati. Ini bertujuan untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut baru sahaja kehilangan orang tersayang dan berada dalam kesedihan yang dalam, terpaksa pula memasak untuk menjamu satu kejiranan. Mereka juga terpaksa mengeluarkan belanja yang bukan sedikit untuk tujuan tersebut. Tidakkah kita yang hadir ke kenduri arwah berasa bersalah? Tambahan lagi tidakkah kita takut bimbang termakan harta anak yatim? Tidakkah kita khuatir bimbang termakan harta si mati yang belum diagihkan kepada yang berhak seperti mana tuntutan syarak (bayar hutang dan sebagainya)?

KEDUA

HADIR KE KENDURI KAHWIN. Kita biasanya akan memberi ang pau atau bahasa lazimnya salam keruk. Kalau tiada duit untuk diberi kita merasa malu untuk hadir ke kenduri tersebut. Sebaliknya kita tak pernah rasa malu untuk hadir menziarahi kematian jika tidak menghulur bantuan. Sedangkan keluarga si mati lebih memerlukan bantuan berupa kewangan. Sebaliknya keluarga pengantin jemput kita makan kenduri untuk meraikan hari bahagia bukan untuk menambah harta. Tidakkah ini terbalik?

KETIGA

MENGHADIRI MAJLIS RASMI BERSAMA PEMIMPIN NEGARA. Kita akan berpakaian segak dan paling cantik. Sesetengah tu pula sanggup berhabis duit untuk solekan dan dandanan. Namun ketika mengadap ALLAH S.W.T. Pemimpin Alam Semesta, kita berpakaian ala kadar sahaja, malah lebih teruk lagi ada yang tidak berbaju. Terbalik tak?

KEEMPAT

KETIKA MENJADI TETAMU DI MAJLIS MAKAN-MAKAN. Kita malu untuk makan sehingga habis. Sanggup kontrol ayu. Semata-mata untuk mengelak dari dikata buruk lantak. Sedangkan Islam menuntut kita menghabiskan makanan tuan rumah demi mengelakkan pembaziran dan mengembirakan hati tuan rumah.

KELIMA

SOLAT SUNAT. Kalau kita di masjid amat rajin kita bersolat sunat. Namun bila di rumah amat malas. Sedangkan Rasulullah s.a.w. menganjurkan untuk perbanyakkan solat sunat di rumah bagi mengelakkan rasa riak.

KEENAM

BULAN RAMADHAN. Sebenarnya puasa Ramadhan adalah medan peperangan melawan hawa nafsu. Ramadhan membawa pengertian kita mengekang hawa nafsu. Terbaliknya kita, kita menjadikan Ramadhan sebagai pesta menjamu nafsu selera. Pembaziran melanda dengan berleluasa. Sehinggakan dalam setahun perbelanjaan di bulan Ramadhan adalah yang tertinggi. Bukankah sepatutnya sebaliknya?

KETUJUH

MENGERJAKAN HAJI. Kebanyakkan dari kita akan membuat kenduri doa selamat sebelum berangkat ke tanah suci. Bila balik tiada kenduri diadakan. Sedangkan Islam menyarankan diadakan kenduri doa selamat selepas balik dari bermusafir. Islam tidak pernah menyarankan kenduri sebelum pergi bermusafir.

KELAPAN

KELAS BIMBINGAN. Kebanyakkan ibu bapa bimbang anak-anak gagal cemerlang dalam akademik. Mereka sanggup berhabis wang ringgit untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen yang harganya sangat tinggi sehinggakan bisnes tuisyen menjadi sangat laku. Sebaliknya ibu bapa tidak kisah sekiranya anak-anak tidak pandai mengaji Al-Qur'an. Untuk membayar RM15.00 sebulan bagi kelas pengajian Al-Qur'an dianggap sangat merugikan.

KESEMBILAN

KERJA KERJA KERJA. Semua orang berlumba-lumba mencari rezeki ALLAH S.W.T. tidak kira siang malam. Malah hari cuti pun sanggup ke pejabat untuk mencari rezeki tambahan. Namun begitu liat untuk ke rumah ALLAH S.W.T. Tidak malukah kita yang merebut rezeki-NYA tanpa mengira waktu, sedangkan pada masa yang sama kita melupakan tanggungjawab kita kepada Si Pemberi Rezeki tersebut?

KESEPULUH

BERSOLEK. Si isteri akan berhias bagaikan peserta ratu cantik bila keluar rumah, tidak kiralah dengan suami atau tidak. Namun bila di rumah penampilannya, Ya Rabbi! Sedangkan ALLAH S.W.T. menggesa si isteri berhias indah hanya untuk suaminya seorang dan haram berhias untuk orang lain. Perbuatan terbalik inilah yang menjadi punca keretakan rumah tangga.

Cukuplah rasanya disenaraikan 10 sahaja amalan terbalik dari ajaran Islam. Marilah kita bersama-sama berlapang dada dan menerima kealpaan kita dengan hati yang terbuka. ALLAH S.W.T. beri kita peluang untuk memperbaiki diri. Marilah bersama-sama kita beralih kepada landasan hidup seperti mana yang sepatutnya dan bukan mengikut selera nafsu kita serta pandangan masyarakat. Usah dipedulikan penilaian orang terhadap kita. Penilaian ALLAH S.W.T. jauh lebih besar. ALLAH S.W.T. yang menciptakan kita, maka biarlah DIA sahaja yang menentukan peraturan hidup kita dan bukan yang lainnya.

Tidak salah untuk kita menjadi langkah permulaan yang membawa perubahan kepada sistem hidup dalam masyarakat yang dah terbalik ini. Mungkin daya usaha kita berseorangan dipandang kecil dalam masyarakat, namun tidak di mata ALLAH Yang Maha Halus Lagi Maha Terperinci.

Suka dikongsi peristiwa sewaktu Nabi Ibrahim a.s. dibakar dalam api menjulang oleh Raja Namrud. Seekor burung kecil terbang dari lautan membawa setitis air dan menuju ke arah julangan api yang marak untuk memadamkannya. Dia berulang alik ke laut untuk mengambil setitis air ke dalam mulutnya. Burung tersebut ditertawakan oleh haiwan yang melihat tingkah lakunya yang dianggap bodoh. Lantas burung tersebut berkata:

"Aku hanya menjalankan tanggung jawabku. Sama ada ia berhasil atau tidak itu bukan urusanku. Itu urusan ALLAH S.W.T. Penguasa Setiap Perancangan".

Begitu hebat pemikiran burung kecil tersebut. Itulah yang sepatutnya kita contohi. Jangan kita rasa malu dengan ejek ketawa sesama makhluk. Sedangkan kita semua akan ditanya oleh ALLAH S.W.T. Raja Hari Pembalasan. Mahukah kita sama tergolong dengan orang-orang yang tertawa itu?

Diharap apa yang tercoret di sini dapat dipanjangkan kepada saudara-saudara kita di luar sana. Hadith riwayat Bukhari "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat".

Monday, February 8, 2010

GAYA KEIBU BAPAAN - YANG MANA SATUKAH ANDA?

Terdapat beberapa gaya keibu bapaan, namun secara umunya terdapat empat gaya keibu bapaan yang biasanya diamalkan. Setiap satu daripada gaya-gaya keibu bapaan ini bakal mencorak peribadi anak-anak dan suasana sesebuah keluarga.

Selalunya ibu bapa datang kepada kami menceritakan seribu satu macam masalah anak-anak mereka. Kami pernah menjejaki beberapa remaja yang lari dari rumah, yang ditahan reman, yang dalam proses menggugurkan kandungan dan macam-macam lagi. Sememangnya kami boleh memberikan nasihat kepada anak-anak di luar sana (adik-adik kami). Namun kami percaya bahawa setiap masalah perlu dicari puncanya dalam usaha mencari penawar yang berkesan. Dengan merenung secara lebih mendalam tentang gaya-gaya keibu bapaan, kita pasti boleh bersama-sama mengetahui punca masalah yang dihadapi oleh anak-anak. Pastinya ibu bapa di luar sana lebih arif tentang jenis keibu bapaan yang diamalkan oleh mereka selama ini.

Untuk itu mari kita mengenali keempat-empat gaya keibu bapaan tersebut, ciri-cirinya dan kesannya terhadap perkembangan peribadi anak-anak.
Gaya Pertama: BERWIBAWA (AUTHORITATIVE)

Ciri-ciri: -

1. Ibu bapa tegas dan boleh mengawal keadaan.

2. Sedia mendengar pandangan anak-anak.

3. Boleh bertolak ansur jika perlu.

4. Anak-anak membesar dalam suasana penuh kemesraan.

5. Sentiasa menetahui dan mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak.

6. Sentiasa mengawasi pergaulan anak-anak.

7. Anak-anak dijangka untuk berkelakuan (secara intelektual) seiring umur dan sosial mereka.


Kesan terhadap perkembangan anak-anak: -

1. Anak-anak merasa dihargai, disayangi dan difahami.

2. Anak-anak akan takut untuk melakukan kesalahan, bimbang mengecewakan ibu bapa.

3. Hati anak-anak akan dekat dengan rumah.

4. Anak-anak tidak akan merasa takut untuk meluahkan pandangan.

5. Anak-anak akan sentiasa menjaga perilaku mereka.

6. Perkembangan intelektual dan sosial anak-anak terkawal.



Gaya Kedua: MENGABAIKAN ATAU CUAI (NEGLECTING)

Ciri-ciri: -

1. Ibu bapa tidak ambil peduli di mana anak mereka berada.

2. Ibua bapa tidak kisah apa aktiviti yang dilakukan anak-anak.

3. Ibu bapa tidak tahu dengan siapa anak-anak berkawan.

4. Ibu bapa tidak tahu tentang hal ehwal pembelajaran anak-anak.

5. Ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan seharian dan kerja.


Kesan terhadap perkembangan anak-anak: -

1. Anak-anak akan terabai.

2. Anak-anak bebas membuat keputusan sendiri.

3. Anak-anak akan cepat matang berbanding sepatutnya.

4. Anak-anak menjadi independent.

5. Kurang kasih sayang dan perhatian.



Gaya Ketiga: MEMANJAKAN (INDULGENT)

Ciri-ciri: -

1. Ibu bapa hanya menurut keperluan, kehendak dan tuntutan anak.

2. Tidak menetapkan batasan terhadap anak-anak.


Kesan terhadap perkembangan anak-anak: -

1. Anak-anak kurang menimba pengalaman hidup.

2. Anak-anak tidak merasa keperitan berusaha.

3. Gagal berdikari.

4. Manja dan mendesak.

5. Akan memberontak seandainya keinginan tidak dipenuhi.

6. Sukar menghadapi situasi dunia sebenar yang mencabar.

7. Sentiasa memberikan alasan untuk mengelak apabila diminta sesuatu, sebagai contoh ketika dibangunkan untuk solat Subuh.

8. Pandai berbohong, sebagi contoh minta wang dikatakan untuk kegunaan pelajaran tetapi digunakan untuk tujuan tidak berfaedah.

9. Memberikan alasan sekiranya gagal dalam pelajaran.



Gaya Keempat: KUKU BESI (AUTHORITARIAN)

Ciri-ciri: -

1. Ibu bapa terlalu mengawal ketat anak-anak.

2. Tidak ada istilah tolak ansur.

3. Gagal menjalinkan komunikasi dua hala.

4. Tiada kemesraan.

5. Meletakkan harapan terlalu tinggi dan tidak munasabah terhadap anak-anak.


Kesan terhadap perkembangan anak-anak: -

1. Anak-anak menjadi terlalu dependent.

2. Takut untuk membuat keputusan.

3. Tiada kebebasan.

4. Perkembangan sosial terbantut.

5. Melepaskan kemarahan terpendam pada orang lain.

6. Berdendam.

7. Kejutan budaya bila mendapat kebebasan, sebagai contoh jika tinggal di asrama atau bila bekerja di mana terdapat banyak perkara yang mereka tidak boleh lakukan selama ini.

APAKAH GAYA KEIBU BAPAAN YANG PALING SESUAI?

Gaya keibu bapaan BERWIBAWA (AUTHORITATIVE) sering dirujuk sebagai keibu bapaan yang positif (positive parenting). Manakala gaya MENGABAIKAN (NEGLECTING), MEMANJAKAN (INDULGENT) dan KUKU BESI (AUTHORITARIAN) pula dirujuk sebagai keibu bapaan yang negatif (negative parenting) dan kurang berkesan.


Keibu bapaan yang positif adalah : -

1. Peka dengan perlakuan anak dan sentiasa memberi galakan, rangsangan serta bimbingan melalui pendekatan disiplin yang asertif dan tidak kasar.

2. Berinteraksi secara positif, di samping menyemai emosi yang bersesuaian serta bertanggungjawab.

3. Dapat membantu anak-anak mengawal diri dengan menetapkan batasan dan peraturan rumah.


Kebaikan dari gaya keibu bapaan yang positif: -

1. Mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak-anak.

2. Meningkatkan rasa harga diri anak-anak.

3. Menggalakkan disiplin anak-anak.

4. Mengajar anak berfikir untuk diri sendiri.

5. Menyediakan peluang untuk ibu bapa membimbing anak-anak.

6. Membantu abak mempunyai kawalan diri.


Keburukan gaya keibu bapaan yang negatif: -

1. Merendahkan rasa harga diri anak.

2. Anak gagal memeiliki sikap asertif.

3. Anak menjadi tidak bertanggung jawab dan kurang matang.

4. Perhubungan antara anak dan ibu bapa menjadi kurang mesra.

5. Anak akan kerap memprotes secara melampau.



CADANGAN KE ARAH MENJADI IBU BAPA YANG POSITIF

Saturday, February 6, 2010

KITA SEBENARNYA!!!

Kita sebenarnya...

Lebih teruja menyambut 1 Januari setiap tahun
Berbanding 1 Muharram


Lebih tahu apa itu 14 Februari
Berbanding 12 Rabiul Awwal


Lebih bergembira bila tiba hari Sabtu dan Ahad
Berbanding hari Jumaat


Lebih khusyuk dan menjiwai bila mendengar lagu
Berbanding tika mendengar azan


Lebih suka, lepak, tidur, menonton TV
Berbanding solat dan mengaji Al-Qur'an


Lebih mengenali artis-artis pujaan serta gosip terkini tentang mereka
Berbanding tentang Rasul-rasul ALLAH yang mulia serta sirah hidup mereka


Lebih gemar mengucapkan hello, hi, morning
Berbanding memberi salam yang pastinya memberi pahala tambahan


Lebih asyik menyanyi pelbagai rentak lagu
Berbanding berzikir dan bertahmid memuji Penguasa Semesta Alam


Lebih suka memuji sesama manusia
Berbanding Pencipta kita sendiri


Lebih suka membaca majalah hiburan dan portal gossip
Berbanding buku-buku agama dan bahan ilmiah


Lebih suka ke konsert hiburan dan pusat-pusat karaoke
Berbanding majlis-majlis ilmu dan ceramah agama


Lebih suka mengumpat, memaki dan menceritakan keburukkan orang
Berbanding memuji kebaikkan mereka


Lebih suka mencarut &*#$#$!!!
Berbanding menyebut Masya-ALLAH


Lebih suka berbuat kemungkaran
Berbanding membuat amal kebaikkan


Lebih berbangga dengan kejahilan kita
Berbanding bersyukur dengan keimanan kita


Lebih cintakan dunia
Berbanding akhirat


Namun bila ditanya ke manakah tujuan kita??? Sudah pasti kita akan menjawab bahawa...


Kita sebenarnya lebih suka menuju ke syurga ALLAH berbanding neraka...


Hakikatnya, layakkah kita untuk syurga ALLAH....


Sebagai peringatan diri ini dan saudara-saudara ku...
Kata bijak pandai, "Hindari diri dari berkawan dengan orang yang suka melakukan maksiat, bimbang nanti kita tidak merasa benci terhadap maksiat..."

Friday, February 5, 2010

LUASNYA NERAKA



Ya ALLAH Ya RAHMAN Ya RAHIM, lindunglilah dan peliharakanlah kami, kedua ibu bapa kami, isteri kami, anak-anak kami, kaum keluarga kami dan semua orang Islam dari azab seksa api neraka-MU Ya ALLAH. Sesungguhnya kami tidak layak untuk menduduki syurga-MU Ya ALLAH, namun tidak pula kami sanggup untuk ke neraka-MU Ya ALLAH. Ampunkanlah dosa-dosa kami, terimalah taubat kami dan terimalah segala ibadah dan amalan kami dengan rahmat-MU Ya ALLAH... Amin Ya Rabbal-alamin.

Mari kita berbicara tentang neraka.


Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yang dia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh Nabi s.a.w. “Mengapa aku melihat kau berubah?”

Jawabnya: “Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat ALLAH menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa ALLAH itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya.”

Lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam.”

Jawabnya: “Ya. Ketika ALLAH menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyalaan dan baranya. Demi ALLAH yang mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi ALLAH yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi ALLAH yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yang ke tujuh. Demi ALLAH yang mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya. Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan.”

Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?”

Jawabnya: “Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda.”

Tanya Rasulullah s.a.w.: “Siapakah penduduk masing-masing pintu?”

Jawab Jibrail: “Pintu yang terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s. serta keluarga Fir’aun sedang namanya Al-Hawiyah.

Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim.

Pintu ketiga tempat orang shobi’in bernama Saqar.

Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha.

Pintu kelima orang Yahudi bernama Huthomah.

Pintu ke enam tempat orang Nasara bernama Sa’eir.”

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya: “Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?”

Jawabnya: “Di dalamnya orang-orang yang berdosa besar dari umatmu yang sampai mati belum sempat bertaubat.”

Maka Nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala Nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali.

Sesudah sedar Nabi saw bersabda: “Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedih, apakah ada seorang dari umatku yang akan masuk ke dalam neraka?”

Jawabnya: “Ya, iaitu orang yang berdosa besar dari umatmu.”

Kemudian Nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian Nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada ALLAH untuk saekalian umatnya.

Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tidak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari-KU. Tahukah kamu bahawa neraka jahanam-KU itu:

1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat

2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah

3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung

4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah

5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik

6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak

7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum

8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular

9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.

10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai

11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat.


Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159:

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah KAMI turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah KAMI terangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh ALLAH dan dilaknat oleh sekalian makhluk.



Mudah-mudahan dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua. Wallahua’lam.

Tuesday, February 2, 2010

RENUNGAN BUAT IBU BAPA: MARI BERSAMA KITA FIKIRKAN

Assalamualaikum, bertemu sekali lagi. Coretan kali ini ditujukan khusus buat para ibu bapa di luar sana. Coretan ini tidak bertujuan mencari salah sesiapa. Cuma sekadar sebagai renungan dan untuk kita sama-sama mencari jalan penyelesaian kepada masalah keruntuhan moral remaja yang semakin menjadi-jadi.

Selepas membaca posting yang diletak rakan Pengurus, Kak Reen minggu lepas, saya berusaha mencari maklumat penting di laman sesawang berkaitan parenting. Maklumlah bidang pengkhususan saya lebih tertumpu kepada motivasi remaja. Saya belum lagi punya pengalaman menjadi bapa. Jadi mana mungkin saya mampu menyelami perasaan apatah lagi permasalahan ibu bapa.

Dalam saya menggodak godek beberapa laman sesawang, saya amat tertarik hati dengan satu kisah yang dipaparkan. Lantas teringat saya kes-kes keruntuhan moral dalam masyarakat kita pada hari ini. Di mana kes rogol, sumbang mahram dan sebagainya semakin berleluasa.

Masih saya teringat lagi di mana saya membantu rakan setugas dalam satu kes rogol yang membabitkan remaja 14 tahun yang dirogol secara berkumpulan oleh 13 orang lelaki termasuk remaja bawah umur. Mengendalikan kes tersebut merupakan pengalaman yang agak ngeri bagi saya, ia tidaklah sengeri mengendalikan kes bunuh. Saya tertanya-tanya apakah sebabnya manusia semakin hilang sifat kemanusiaan dan kewarasan?

Mari kita baca dan seterusnya merenung dan memikirkan langkah penyelesaian yang konstruktif serta komprehensif bagi masalah ini. Kisah benar yang berlaku di sebuah nursery. Terkedu tika saya membaca kisah ini. Marah tak mampu saya zahirkan. Cuma sedih yang teramat sangat menguasai hati...


Ceritanya:

Nini (bukan nama sebenar) bekerja di pusat asuhan elit yang kebanyakkannya didiami oleh orang Melayu. Kanak-kanak yang ditempatkan di sana terdiri dari anak-anak golongan bijak pandai dan tentunya berada. Pusat asuhannya bagus, sistematik dan disiplin amat dititik beratkan. Lebih bagus lagi, majikan Nini menerapkan nilai-nilai pendidikan Islam sedari kanak-kanak ini kecil lagi.

Terdapat kira-kira 50 orang kanak-kanak yang terdiri dari bayi hingga ke pra-sekolah di pusat tersebut. Semuanya berjalan lancar tanpa masalah. Sehinggalah pada satu hari pusat tersebut menerima kehadiran ahli baru. Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun. Daniel (bukan nama sebenar) seorang yang sangat comel dan mewarisi ketampanan ayahnya. Di pusat itu juga terdapat seorang kanak-kanak perempuan Norish (bukan nama sebenar) berusia 3 tahun yang juga comel dan cantik.

Sejak hari pertama Daniel kelihatan tertarik untuk berkawan dengan Norish. Ke mana Norish pergi ke situ jugalah Daniel mengekorinya. apapun aktiviti yang dilakukan oleh Norish, Daniel pasti akan turut sama.

Di pusat asuhan itu, bayi akan ditempatkan dalam satu bilik. Manakala kanak-kanak lelaki dan perempuan diletakkan dalam dua bilik berasingan. Selepas makan tengah hari, mereka semua diarahkan tidur. Pastinya di bilik masing-masing.

Pada satu hari, Nini memeriksa setiap bilik untuk memastikan tiada masalah. Nini terkejut bila mendapati Daniel duduk di tepi Norish yang sedang tidur sambil mengusap-usap pipi Norish. Nini segera mendapatkan Daniel dan memujuknya untuk ke bilik kanak-kanak lelaki dan tidur.

Esoknya semasa aktiviti bermain, Daniel kelihatan begitu rapat dan mesra dengan Norish. Dibelainya rambut Norish dan diciumnya pipi Norish. Nini mula rasa pelik. Tapi merasakan itu sekadar perkara biasa bagi kanak-kanak untuk meluahkan rasa sayang. Tiada apa yang menghairankan kerana kita juga mencium dan dicium kanak-kanak.

Tengah hari itu, sama seperti semalam, Daniel sekali lagi ke bilik Norish dan berbaring di sebelahnya. daniel terlelap sambil tangannya memeluk Norish. Bila dikejutkan oleh Nini, Daniel menangis dan tidak mahu ke bilik kanak-kanak lelaki.

Satu hari kebetulan ibu bapa Norish lewat menjemputnya. Norish bermain-main, dan seperti biasa Daniel tetap setia menemaninya. Namun kelakuan Daniel agak berlebihan kali ini. Dia memeluk, membelai dan mencium Norish. Nini seperti biasa menegah dan meleraikan pelukan itu.

Namun satu hari merupakan kemuncak kepada apa yang selama ini menjadi tanda tanya kepada Nini. Kebetulan hari itu hujan, maka tiada aktiviti bermain di luar. Semua kanak-kanak bermain di dalam rumah. Namun Nini tidak melihat kelibat Daniel mahupun Norish. Puas dicari serata pelosok rumah, namun mereka berdua tetap tidak kelihatan.

Akhirnya Nini hampir pengsan bila menemukan Daniel dan Norish dalam bilik stor belakang. Daniel duduk melutut depan Norish sambil mencium perut Norish. Daniel sudah tidak berpakaian. Begitu juga dengan Norish hanya berseluar dalam sahaja.

Nini menjerit kegeraman, diangkatnya Daniel dan dipaksa mengenakan semula pakaian. Nini kemudian mengenakan semula pakaian Norish yang mula menangis (mungkin kerana ketakutan akibat dijerit oleh Nini).

Di bilik pengetua pusat asuhan, keadaan tenang dalam ribut. Daniel ditanya mengapa dia bertindak sedemikian. Jawapan yang diberikan amat mengejutkan.

"Papa buat mama boleh. Papa kata itu cara kita nak tunjukkan sayang. Kalau kita sayang kita buatlah macam tu".

Ibu dan ayah Daniel segera dipanggil. Pada mulanya mereka menafikan perkara itu. Namun setelah Nini dan pengetua menceritakan perbuatan Daniel terhadap Norish, ibu Daniel terkejut dan menangis. Beliau mengatakan bahawa ini bukanlah pusat asuhan pertama Daniel dihantar. Perkara yang sama pernah berlaku di pusat-pusat asuhan sebelum ini. Dan ini merupakan pusat asuhan ke-3 mereka hantar Daniel.

Secara diplomasi pengetua menyarankan agar Daniel dirujuk kepada pakar untuk mendapatkan rawatan. Namun ayah Daniel agak ego dan sombong. Beliau tidak mahu menerima teguran dan saranan pengetua. Beliau tetap menegaskan bahawa tiada apa yang salah dengan perbuatan Daniel.

Tetapi ibu Daniel dalam esakkan tangisnya, mengakui bahawa Daniel telah beberapa kali terlihat mereka suami isteri melakukan hubungan intim. Pada awalnya mereka merasa kekok. Namun lama-kelamaan mereka merasakan tiada apa yang perlu dirisaukan memandangkan Daniel masih kecil dan tidak mengerti apa-apa.

Namun rupa-rupanya perkara tersebut telah merosakkan jiwa Daniel. Apatah lagi dengan penjelasan yang salah dari si ayah.

Ayah Daniel marah dengan tindakan isterinya. Beliau memutuskan untuk menukar Daniel ke pusat asuhan yang lain.

Kembali kepada perbincangan kita.

Membaca kisah ini sememangnya mengerikan. Bagaimanakah nasib Daniel seterusnya sekiranya tidak dirawat di peringkat awal? Keegoan si ayah sememangnya amat cliche. Salahkah seorang ayah mengakui kesilapannya? Lantaran keegoan si ayah, amat pasti si anak akan terus rosak. Di sini si ibu perlu memainkan peranan memandangkan beliau sudah menyedari kesilapannya dan suami.

Dalam Islam sendiri telah digariskan adab sopan sesama mahram. Aurat sesama mahram tetap ada walaupun ia tidak seketat aurat terhadap bukan mahram. Hatta anak-anak tidak boleh sewenang-wenangnya memasuki bilik ibu bapa tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu. Ibu bapa juga perlu menjaga batas kemesraan di hadapan anak-anak. Tidak salah bermesra sesama di hadapan anak-anak, namun ianya janganlah berlebihan sehingga menimbulkan masalah seperti yang dialami Daniel.

Ibu bapa juga perlu bersedia memberi penerangan yang betul terhadap setiap persoalan yang diajukan anak-anak. Jangan ambil langkah escapism. Mungkin bapa Daniel ingin melarikan diri dari menjawab soalan Daniel. Namun perkara ini akan lebih menjejaskan pemikiran si anak, kerana merasakan perbuatan itu tidak salah.

Sebagai ibu bapa juga perlulah berfikiran terbuka dan bersedia untuk dikritik untuk kebaikkan bersama. Sekiranya sudah jelas si anak ada masalah bersegeralah mendapatkan rawatan dan jalan penyelesaian.

Anak-anak sekarang bukan lagi seperti anak-anak dahulu. Bukan seperti zaman kita dibesarkan. Anak-anak sekarang sangat pantas berfikir dan naluri ingin tahu lebih hebat selaras dengan kemajuan teknologi terkini. Jadi renung-renungkanlah wahai saudara-saudaraku. Marilah kita bersama berdoa agar kisah Daniel ini tidak berulang. InsyaALLAH.

SMART LEARNING - SEMINAR TODAY'S PREPARATION TOMORROW ACHIEVEMENT (DETAILS OF THE PROGRAM)






SMART LEARNING - SEMINAR TODAY'S PREPARATION TOMORROW ACHIEVEMENT (DETAILS OF THE PROGRAM)